Malaysia Dateline

RAMC beri penarafan kemampanan Perak kepada AMMB Group

RAM Consultancy Services Sdn Bhd (RAMC) memberikan Penarafan Kemampanan Perak kepada AMMB Holdings Bhd (AmBank Group).

Ia menunjukkan prestasi kemampanan keseluruhan kumpulan itu yang sederhana selepas mengambil kira elemen alam sekitar, tadbir urus dan sosial (ESG) serta impak positif.

Dalam kenyataan hari ini, RAMC berkata prestasi kemampanan keseluruhan AmBank Group sebahagian besarnya didorong oleh tadbir urus kemampanannya yang kukuh, seperti dapat dilihat melalui struktur kumpulan kerja kemampanan khusus yang menjalankan inisiatif kemampanan melalui pendekatan menyeluruh.

“Kumpulan itu turut dilihat menggalakkan berkaitan prestasi tadbir urus korporatnya terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan tonggak utama Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

“Penarafan itu terus disokong oleh dasar dan amalan komprehensif kumpulan tersebut dalam semua aspek sosial, seperti sumber manusia, hak asasi manusia, tanggungjawab produk dan perkhidmatan serta komuniti,” menurut penyedia analisis ESG.

RAMC berkata AmBank Group menunjukkan kesedaran yang tinggi mengenai keperluan kepada perbankan yang mampan dan bertanggungjawab melalui strategi kewangan mampannya berhubung rangkuman kewangan, pinjaman dan pelaburan yang bertanggungjawab.

“Ini bermakna, terdapat ruang kepada petunjuk prestasi yang lebih kukuh dalam bidang ini,” katanya.

— BERNAMA