Malaysia Dateline

Rameli Musa tidak pernah sokong PKR, kata Naib Presiden

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan Datuk Seri Rameli Musa tidak pernah sekali pun terlibat atau menyokong parti itu dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda PKR.

Secara umumnya beliau mengenali individu terbabit dari jauh dan menghormati beliau sebagai penyokong Pas yang ada perniagaan besar.

“Memang Dato’ Seri Rameli Musa ini belajar di MCKK dulu dan pernah berada di dalam ABIM. Ia tidak ubah seperti saya orang Terengganu (seperti mana Dato’ Seri Hadi Awang orang Terengganu) dan Hadi Awang sendiri pernah menjadi pimpinan ABIM Terengganu.

“Tetapi itu tidak menjadikan saya orang kuat PAS (hanya kerana saya ada sedikit persamaan dengan Dato’ Seri Hadi Awang) atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim ahli PAS (hanya kerana beliau pernah menjadi presiden ABIM dan presiden PAS kini pernah menjadi pimpinan bawahan beliau di dalam ABIM dahulu),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab ‘spin’ penyokong Pas yang menidakkan hubungan Datuk Seri Rameli dengan Presiden Pas.

Rafizi berpandangan, Rameli dikenali sebagai bekas aktivis ABIM dan ahli perniagaan yang menyokong gagasan Unity Government, iaitu menyatukan Umno dan Pas sejak dari tahun 2008 lagi.

Bahkan katanya, laporan-laporan dari laman rasmi Pas sendiri menyebut bagaimana beliau mengiringi Dato’ Seri Hadi Awang dalam beberapa program, malah disertai dengan gambar-gambar bersama.

“Tidak ada salahnya Dato’ Seri Rameli Musa rapat dengan Dato’ Seri Hadi Awang. Saya juga tidak terkejut beliau (Rameli) sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah rakan karibnya itu. Ia satu tindakan terpuji.

“Yang salahnya ialah bila Pas berlaku tidak jujur dengan cuba memutar belit demi modal politik. Salah apabila pimpinan Pas tidak membetulkan penyokong wala’ di bawah yang menabur pelbagai fitnah terhadap Dato’ Seri Rameli Musa, sedangkan tokoh perniagaan itu begitu banyak membantu kewangan Pas selama ini.

“Akibat pelbagai tuduhan tidak benar yang dikilang oleh penyokong wala’ di bawah, ia menimbulkan pandangan buruk mengenai Dato’ Seri Rameli Musa,” jelasnya.

Ini secara tidak langsung katanya mengundang rakyat keseluruhannya mempersoalkan kredibiliti Dato’ Seri Rameli Musa, yang akhirnya akan mempersoalkan kenapa rakan karib Presiden Pas dilantik sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Sedangkan, kata Rafizi, Dato’ Seri Rameli Musa memang seorang niagawan Melayu yang berjaya dan tanpa cerita yang dikilang oleh penyokong wala’ PAS yang menuduh beliau menjadi kuli suruhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (sedangkan beliau sebenarnya rakan karib Dato’ Seri Hadi Awang), tiada apa yang pelik sangat dengan lantikan beliau sebagai Pengerusi KTMB oleh kerajaan PH.

“Ia menunjukkan betapa terbuka dan profesionalnya kerajaan PH yang tidak menghukum seseorang atas pegangan politik, sehingga rakan karib presiden PAS pun dilantik sebagai ketua GLC yang besar.

“Namun, dengan kerja-kerja putar belit (“spin”) kini diserahkan sepenuhnya kepada penyokong wala’ dan pimpinan PAS mencuci tangan, kemungkinannya korban paling besar dalam cubaan menutup kemaluan presiden PAS ini adalah rakan karib beliau sendiri,” katanya.

Dalam kesemua kekecohan ini, beliau berkata, tidak sekali pun Dato’ Seri Hadi Awang menjawab fakta-fakta yang dikeluarkan satu persatu malangnya, Setiausaha Agung telah jawab dan kantoi begitu juga Ketua Penerangan telah jawab dan kantoi.

Dan kini, katanya, Abdul Hadi melihat sahaja penyokong-penyokong yang wala’ kepada beliau menghina rakan karib beliau yang sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah beliau yang tercalar akibat strategi “kingmaker” dan “cash is king” yang gagal.

“Sehingga kini beliau tidak membela Dato’ Seri Rameli Musa dan menyatakan bahawa Dato’ Seri Rameli Musa itu sahabat karib beliau. Atau mengiyakan bahawa memang Dato’ Seri Rameli Musa membayar RM1.4 juta sebagai sebahagian dari perjanjian untuk menamatkan kes saman beliau di mahkamah UK,” ujarnya.