Ramkarpal persoal Hanafiah terima arahan kerajaan

Ramkarpal persoal Hanafiah terima arahan kerajaan

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menegaskan Peguamcara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria perlu disingkirkan jika tidak memahami fungsi Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya tidak menerima arahan daripada kerajaan.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP berkenaan, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara itu jahil tentang kedudukan Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya bebas dan tidak berpihak.

Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria

Ramkarpal berkata demikian dalam kenyataan malam tadi mengulas e-mel Hanafiah kepada semua Timbalan Pendakwa Raya mengenai arahan kerajaan untuk mempercepatkan beberapa kes rasuah berprofil tinggi, termasuk 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Pendirian Hanafiah dalam hal ini serius.

“Ini mencerminkan kejahilannya terhadap fakta bahawa Jabatan Peguam Negara sentiasa bebas daripada arahan kerajaan dan sepatutnya tidak berpihak.

“Ini adalah kesalahan serius dan memalukan terhadap Hanafiah. Beliau harus meletakkan jawatan jika beliau tidak faham ini, (dan) kalau tidak disingkirkan,” kata Ramkarpal.

Jelasnya, Jabatan Peguam Negara pada dasarnya memberikan nasihat kepada kerajaan dan bukan sebaliknya.

“Hanafiah telah lupa bahawa Peguam Negara adalah bebas dan mendakwa mengikut bukti dan tidak pernah diarahkan, sama ada oleh kerajaan atau sebaliknya.

“Kita perlukan individu yang bebas untuk tugas itu. Bukan mereka yang menerima arahan daripada kerajaan,” bidasnya.

Sementara itu, Hanifah ketika mempertahankan e-mel tersebut berkata Jabatan Peguam Negara merupakan sebahagian daripada jentera kerajaan dan akan mematuhi arahan kerajaan selagi ia mengikut undang-undang.