Malaysia Dateline

Ramli, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Cameron Highlands daripada Umno, Datuk Ramli Datuk Md Nor, dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan sokongan dua pertiga majoriti ahli Dewan hari ini.

Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau turut dilantik ke jawatan itu selepas memperoleh 146 undi berbanding 148 undi diperoleh Ramli.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan dua nama sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Ramli, dan Alice Lau.

Perikatan Nasional pula mencadangkan Mas Ermieyati Samsudin yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Mas memperoleh 74 undi sahaja.

Ramli dilantik sebagai timbalan speaker Mac lalu, menjadi Orang Asli pertama mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat.

Ramli, seorang pesara kanan polis menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama pada Januari 2019 selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands. Beliau dipilih semula untuk penggal kedua pada PRU15.

Alice Lau pula pemegang Sarjana Farmasi dari Universiti Strathclyde, Glasgow, Scotland. Timbalan Pengerusi DAP Sarawak itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Lau memperoleh 30,120 undi untuk menewaskan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Wong Ching Yong yang memperoleh 18,576 undi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang diwakili Priscilla Lau mendapat 3,663 undi.

Sebelum ini bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memegang jawatan Timbalan Speaker selama lima tahun dari 2018 hingga 2022.

Mohd Rashid antara individu yang keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Bersatu untuk menyokong Perikatan Nasional. Beliau meneruskan tugasnya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Pada masa sama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said turut dilantik ke jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada tahun 2020 hingga 2021, namun memutuskan untuk melepaskan jawatan seiring dengan pelantikan Perdana Menteri baharu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.