Ramli berterima kasih kepada Mahathir kerana iktiraf masyarakat orang Asli

Ramli berterima kasih kepada Mahathir kerana iktiraf masyarakat orang Asli
Foto: FB Ramli Mohd Nor

Calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengucapkan terima kasih kepada Perdan Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengiktiraf dirinya sebagai masyarakat orang Asli yang berjaya di Malaysia.

Ramli berkata, perkara itu dinyatakan oleh Dr Mahathir ketika sesi dialog perdana menteri di Oxford Union London pada Ahad.

“Pada sessi dialog Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Oxford Union, London, beliau telah ditanya mengenai usaha kerajaan dalam memelihara kebajikan serta pembangunan Orang Asli yang kononnya tidak diberi layanan sama seperti golongan lain.

“Dalam reaksinya, Tun Dr Mahathir sendiri telah menyatakan bahawa Orang Asli diberi peluang dalam arus pembangunan negara sehinggakan ada dalam kalangan Orang Asli dilantik menjadi Senator di Dewan Negara.

“Begitulah luas peluang yang diberi sehinggakan beliau turut menyebut ada Orang Asli yang telah menjadi seorang ‘Assistant Commisioner of Police (ACP) yang saya percaya ianya merujuk kepada pencapaian saya,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya.

Dr Mahathir turut menyebut tentang Orang Asli yang berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.

Kata Ramli secara tidak langsung, Pengerusi Pakatan Harapan itu jelas membuktikan serta mengiktiraf pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli selama lebih 60 tahun ia menguasai kepemimpinan negara ini.

“Terima kasih Tun Dr Mahathir kerana menzahirkan pengiktirafan ini, apatah pula pada acara penuh berprestij di Oxford Union.

“Untuk lebih menguatkan lagi pengiktirafan ini maka, undilah saya – seorang Orang Asli dari suku kaum Semai, sebagai Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat pula,” ujarnya.

Tonton video: Di sini