Malaysia Dateline

Rampas hak anak muda, pengundi 21 tahun akan hukum kerajaan

Rakyat Malaysia berumur 21 tahun akan menghukum kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana keputusan mereka yang merampas hak anak muda untuk mengundi

Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan hari ini jelas tidak mahu melihat penglibatan anak muda mahupun suara mereka dalam proses pembangunan negara.

Menurutnya, perjuangan untuk melaksanakan undi 18 bukanlah usahanya seorang, bahkan juga melibatkan usaha anak muda yang menuntut hak mereka.

“Undi 18 membuka sejarah baru di mana buat pertama kali pindaan perlembagaan yang memulihkan hak mengundi bagi jutaan orang muda, dipersetujui oleh semua parti politik.

“Apabila saya cadangkannya di Parlimen dan berkempen keras untuk hal itu, ianya demi anak muda. Bukan untuk politik. Tiba tiba kita dengar alasan Covid-19 digunakan untuk menidakkan Undi 18. Tidak masuk akal.

“Pelajar umur 17 tabun boleh dikompaun RM10,000 tetapi tidak matang untuk mengundi. Kerajaan ini tidak mahu suara anak muda dalam pembangunan negara kita,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq antara penggerak utama yang membawa usul di Parlimen agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Usul itu mendapat sokongan dua per tiga sokongan Ahli Dewan Rakyat dengan seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan.

Susulan itu, SPR juga memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Ini bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun untuk turut mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sebelum ini dijangka akan diadakan selepas pendaftaran 18 tahun selesai.

Bagaimanapun, pendaftaran undi 18 tidak dapat dilaksanakan selepas SPR mengumumkan penangguhannya pada September 2022.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu mengingatkan kerajaan bahawa segala usaha mereka hari ini untuk mendiamkan hak orang muda, akan ditentang oleh lebih ramai lagi pengundi muda di luar.

“Saya yakin. Jika kamu merampas hak orang muda (18-20tahun) untuk mengundi, yang berumur 21tahun ke atas yang boleh mengundi bakal menghukum kamu,” tegasnya.