Rampas kerusi DAP tentukan penanda aras untuk Adenan, kata penganalisis

Rampas kerusi DAP tentukan penanda aras untuk Adenan, kata penganalisis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Barisan Nasional (BN) dijangka tidak berdepan masalah meraih lebih dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri ke-11, 7 Mei ini.

Namun, tumpuan kini adalah berapa besar kemenangan yang mampu diraih Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dan sejauh mana beliau telah menggoyahkan kawasan majoriti pengundi Cina yang dikuasai pembangkang.

Adenan menjangkakan pasukannya mampu menguasai sekurang-kurangnya 70 daripada 82 kerusi. BN sudah memenangi dua kerusi – Bukit Sari dan Bukit Kota, yang dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Parti pemerintah itu memenangi kesemua pilihan raya negeri sebelum ini, dengan majoriti dua pertiga kecuali pada 1987. Pada 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, DAP 12, PKR tiga dan Bebas satu kerusi.

Pada 1987, ekoran peristiwa Ming Court BN memenangi 28 daripada 48 kerusi.

“Jangkaan BN sebanyak 70 kerusi adalah realistik. Penanda aras sebenar ialah berapa banyak kerusi pengundi Cina, parti itu boleh rampas kembali. Tidak boleh disangkal, BN akan memperoleh dua pertiga kerusi,” kata penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.

Cita-cita pembangkang menghalang BN daripada menguasai 55 kawasan untuk meraih majoriti dua pertiga semakin pudar, dengan DAP dan PKR membawa haluan masing-masing selepas berbalah berhubung agihan kerusi. Rakan mereka Amanah dianggap tidak akan menjejaskan peluang BN.

Seperti sebelum ini, PBB akan memperkukuhkan BN negeri. Parti berkenaan akan bertanding di 40 kawasan, lima kerusi lebih berbanding pada 2011, dan dijangka tidak berdepan masalah menyapu bersih kesemua kerusi berkenaan.

PRS juga yakin ia mampu memenangi kesemua 11 kerusi diperuntukkan kepada parti itu, dan kini terpulang kepada SUPP, SPDP dan 13 calon langsung BN untuk mengekang lawan masing-masing.

SUPP akan bertanding di 13 kawasan, dan selepas beberapa hari kempen, pemerhati politik percaya parti itu mampu merampas kembali beberapa daripada 12 kerusi majoriti pengundi Cina, yang mereka tewas pada 2011.

SPDP pula bertanding lima kerusi termasuk Ba’Kelalan, pertembungan dianggap menarik dengan calon BN Willie Liau berdepan bapa saudaranya, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, yang menewaskan beliau dengan majoriti 473 undi pada pilihan raya negeri lepas.

DAP pula berhasrat memenangi sekurang-kurangnya 18 daripada 31 kawasan yang ditandingi mereka, dan menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, mereka mempunyai ‘peluang yang baik’ untuk menguasai 12 lagi kerusi, kebanyakannya kawasan majoriti Bumiputera serta kawasan pengundi Cina dikuasai BN di Bawang Assan.

Dalam pada itu, Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang membangkitkan mengenai risiko DAP akan tewas di tujuh daripada 12 kerusi majoriti pengundi Cina, yang dimenangi mereka pada 2011.

“Ia semua permainan strategi. Saya berpendapat sasaran DAP sebanyak 18 kerusi terlalu bercita-cita tinggi, mereka bercakap mengenai kawasan-kawasan majoriti pengundi kaum Dayak – itu saya tidak faham,” kata Jeniri.

Dalam tempoh seminggu lepas, Adenan menjelajah di seluruh negeri bagi mendapatkan undi kepada BN di lebih 60 kawasan Bumiputera. Beliau juga meminta pengundi Cina menyokong SUPP agar masyarakat itu mempunyai wakil dalam Kabinet Sarawak.

Kemungkinan besar BN merampas kembali tiga hingga lima kerusi majoriti pengundi Cina, kini dibincangkan secara terbuka.

“Sekarang, banyak lagi kita dengar BN akan memenangi semula kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina. Tiada sesiapa bercakap tentang perkara itu sebelum ini,” kata pemerhati politik Dr Lee Kuok Tiong.

Antara kerusi majoriti pengundi Cina yang menjadi tumpuan ialah Batu Kawah dan Batu Kitang di Kuching; Pujut di Miri, Repok dan Meradong di Sarikei, serta Bukit Assek dan Dudong di Sibu.

Pertembungan di Batu Kawah membabitkan Presiden SUPP Senator Datuk Dr. Sim Kui Hian, yang berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Christina Chiew dari DAP dan calon Bebas Liu Thian Leong, bekas anggota UPP.

Dengan dua hari sebelum hari pengundian, calon-calon akan berusaha sedaya upaya untuk meraih sokongan pengundi atas pagar dalam pilihan raya negeri yang terbesar itu, dan mengingatkan penyokong mereka untuk keluar mengundi.

“Kebanyakan pengundi Bumiputera sudahpun membuat pilihan mereka, tetapi ia berbeza dengan pengundi Cina. Setakat ini, saya berpendapat jumlah pengundi yang belum membuat keputusan adalah 15 peratus,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan keluar mengundi lebih tinggi kali ini sebanyak 75 peratus, berbanding 70 peratus pada 2011.

TAGS