Malaysia Dateline

Rampasan kuasa Feb 2020: Melintasi setahun yang sunyi

Ketika tulisan ini sedang disiapkan, kita baru melintasi setahun rampasan kuasa yang umum kenali sebagai Langkah Sheraton. Pertukaran kerajaan dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional tersebut masih berbekas, seolah baru sahaja berlaku.

Ada yang menyambutnya sebagai sebuah ‘nakba’, ada yang menyambutnya sebagai sebuah ulang tahun penuh gembira.

Kurang sebulan yang lalu, rampasan kuasa turut menjadi tema kepada politik Myanmar, tetangga jauh kita yang juga bekas jajahan Inggeris beberapa dekad lalu.

Beritanya menggemparkan dunia yang masih belum kebah dari demam akibat pandemik Covid-19, namun tidaklah dibincangkan begitu lanjut di Malaysia.

Boleh jadi masyarakat kita agak asing dengan politik di sana, boleh jadi ianya rentetan dari simptom kelesuan politik kita juga. Setiap hari memang akan ada cerita politik yang menjadi bahan sumpah seranah orang ramai, namun kita tidak sampai membincangkannya sehingga masak.

Tumpuan politik masyarakat hari ini hanya sekadar melihat ahli politik mana pula yang menonjolkan kebodohan hari ini. Yang dipanggil ‘warganet’ kita pun sudah hampir menjadikan berita politik sama tarafnya dengan gosip dunia hiburan.

Pada hari pertama rampasan kuasa oleh Tatmadaw atau yang lebih kita kenal sebagai junta, keadaan di Yangon dan kota-kota lain diberitakan sedikit kecoh, namun tidak menunjukkan sebarang tanda akan ada aksi balas dari rakyat kebanyakan.

Pemimpin NLD termasuk Daw Ang San Suu Kyi yang kembali menjadi tahanan politik sendiri dilaporkan meminta penyokongnya untuk membantah, namun kekal tenang dan berhati-hati.

Dari sini ada yang beranggapan, dengan ancaman Covid-19 yang kembali meningkat di sana, kita akan melihat situasi yang sama seperti di Kuala Lumpur setahun yang lalu. Tiada bantahan besar-besaran, tiada tunjuk rasa yang menghiasi jalan raya kota Yangon. Apa lagi ini bukan 2015 saat rakyatnya masih euforik dengan kemenangan NLD menumbangkan parti tajaan junta. Marah-marah hanya akan muncul di media sosial – cukup di situ.

Jangkaan tersebut meleset – minggu ini, bukan hanya Yangon dibanjiri penyokong NLD, sebaliknya hampir semua kota-kota besar di pelosok Myanmar dipenuhi dengan penujuk perasaan yang tidak gentar untuk keluar melawan kerajaan junta.

Pandemik bukan ancaman, peluru senapang tentera juga bukan ancaman. Jaringan aktivisnya pula giat menghubungi teman-teman serantau untuk menyusun setiakawan dari luar. Milk Tea Alliance atau Setiakawan Teh Susu menjadi simbol perlawanan anak muda yang menyambungkan Myanmar dengan teman-teman lain dari Hong Kong, Thailand, dan beberapa negara lain yang turut sedang melawan.

Di Kuala Lumpur, setahun selepas rampasan kuasa – kita masih bergelut dengan politik kepartian dan personaliti berbanding politik idea dan politik melawan.

Politik kita bukan tidak panas, bukan tidak menarik – tetapi ianya bukan lagi untuk semua orang. Politik kita hanya untuk beberapa golongan sahaja; elit-elit kuasa yang masih berwajah sama. Politik kita juga bukan lagi politik pilihan raya. Sudah lama pengundi dan penyokong parti dibelakangi oleh pemimpin sendiri.

Politik sekarang adalah permainan catur memualkan yang dipaksa kepada kita untuk ditonton. Kita tidak boleh masuk campur, hanya tunggu siapa pemenangnya. Dengan demikian sahaja, Kuala Lumpur masih sunyi, dan mungkin bakal terus sunyi untuk setahun lagi.

Keadaan ini membuatkan kita tertanya-tanya; apakah kita masih larat untuk terus menonton permainan antara mereka ini, atau bakal ada antara kita yang akan mula teriak “Cukup!” sebelum membalikkan sahaja papan catur mereka biar semua bertaburan? Wallahualam.