Malaysia Dateline

Rampasan kuasa tentera dalam percaturan geopolitik

Pada umumnya peristiwa rampasan kuasa oleh pihak tentera di Myanmar dikesali oleh dunia. Tetapi dilaporkan bahawa apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahu mengemukakan usul mengecam tindakan rampasan kuasa itu, ia dihalang oleh China dengan disokong Rusia.

China dan Rusia mempunyai kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB. Negara lain yang mempunyai kuasa veto ialah Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Walaupun pada asasnya keputusan dari Majlis Keselamatan dibuat melalui undi majoriti tetapi kuasa veto membolehkan mana-mana negara yang memilikinya menghalang sesuatu keputusan dengan satu undi saja.

Setelah rundingan selanjutnya, China mengalah dan menerima usul membantah rampasan kuasa itu. Tetapi kandungan ayat dalam dokumen itu begitu lunak hingga ia tidak membawa kepada sebarang tindakan.

Maka apa yang berlaku di Myanmar bukan saja soal demokrasi berlawan dengan autokrasi tetapi Barat lawan Timur. Istilah politik Barat dan Timur ini berbeza daripada maksud geografi. Barat di sini bermaksud Amerika Syarikat dengan sekutu-sekutunya. Sementaea Timur merupakan istilah yang diwarisi daripada Perang Dingin, merujuk pada Soviet Union dan sekutu-sekutunya. Kini dengan berlalunya Perang Dingin dan tiadanya Soviet, Timur merujuk pada Rusia dan China.

Apabila melihat sikap China dan Rusia terhadap rampasan kuasa itu, maka dapat dirumuskan bahawa Myanmar di bawah tentera adalah sekutu Beijing, Moscow dan Beijing tidak melihat dari sudut demokrasi dan pilihan rakyat. Mereka hanya memandang pada pesaingan pengaruh Barat dan Timur. Myanmar dianggap sebagai negara di bawah pengaruh Timur tetapi cuba dikuasai oleh Barat melalui demokrasi, pilihan raya, Liga Nasional bagi Demokrasi ( NLD) dan Aung San Suu Kyi.

Bagi Moscow dan Beijing, demokrasi hanya alat dan senjata Barat untuk menguasai Myanmar. Amalan ini dapat disaksikan betapa pengaruh Barat memasuki Eropah Timur dan Asia Tengah selepas kejatuhan Soviet. Apabila demokrasi dilaksanakan di negara-negara bekas komunis, parti yang menang adalah pihak pro-Barat. Akhirnya ia membawa negara mereka menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Maka Rusia mendapati dirinya terkepung dengan Eropah timur dan Asia tengah diperintah oleh kerajaan pro-Amerika.

Dapat dilihat bahawa perseteruan antara Rusia dan Amerika berlanjutan walaupun Perang Dingin berakhir dan komunisme sudah tumbang. Maka dapat disimpulkan bahawa Perang Dingin dahulu pun bukanlah kerana pesaingan ideologi semata-mata tetapi lebih kepada kepentingan geopolitik nasional masing-masing.

Rusia di bawah Vladimir Putin tidaklah mengamalkan demokrasi liberal seperti di Amerika dan Eropah. Walaupun ia mengadakan pilihan raya tetapi sistem politiknya adalah untuk memastikan kemenangan memanjang Putin. Sementara sistem ekonominya pula walaupun berbentuk pasaran terbuka tetapi kekuasaan elit oligarki yang bersekutu dengan Putin mengakibatkan Rusia tidak seperti Barat.

China pula sememangnya tidak mengamalkan demokrasi. Ia masih diperintah oleh Parti Komunis China walaupun sistem ekonominya sudah terbuka dan maju. Cara China mengendalikan Hong Kong dan layanannya terhadap orang Uighur di Xinjiang menunjukkan bahawa soal demokrasi tidak diambil kira dengan perhatian lebih tertumpu kepada kepentingan nasional menurut kaca mata Parti Komunis.

Myanmar mempunyai hubungan rapat dengan China sejak ia merdeka lagi pada tahun 1948. Kedudukan geografi negara itu adalah strategik yang menyebabkan pihak Barat mahu mempunyai pengaruh ke atasnya. Ketika Perang Dingin, Myanmar yang ketika itu bernama Burma mengambil sikap berkecuali. Malah ada seketikanya ia mengisytiharkan dirinya sebagai negara sosialis. Tetapi ketika mana negara-negara lain di Asia Tenggara bersikap terbuka dengan kemasukan pelabur asing, Burma mengambil dasar tertutup dan lebih banyak berurusan dengan China.

Sememangnya Barat berusaha untuk mempengaruhi Burma, antaranya melalui sokongan mereka terhadap kumpulan-kumpulan yang memberontak untuk merdeka di wilayah-wilayahnya. Barat juga memberi sokongan pada gerakan demokrasi yang dipimpin oleh Suu Kyi dan NLD. Maka tidak hairanlah bahawa pihak tentera yang menganggap dirinya bertanggungjawab mempertahankan keutuhan negara melihat Suu Kyi dan NLD sebagai pembawa pengaruh Barat. Namun begitu, majoriti rakyat tidak beranggapan demikian. Tetapi jika mereka beranggapan begitu, ia bernakna majoriti rakyat adalah pro-Barat.

Pilihan raya umum Myanmar yang berlangsung pada November lalu seharusnya merupakan proses demokrasi yang memilih parti untuk mentadbir Myanmar, dan pengundi memilih NLD pimpinan Suu Kyi. Ia merupakan kemenangan besar dengan mengalahkan parti yang disokong pihak tentera, Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP). Maka pihak tentera tidak mengiktirafnya. Ia menuduh bahawa terdapat penipuan dalam pilihan raya itu. Mereka melakukan rampasan kuasa, mengisytihar Darurat selama setahun dan berjanji akan mengadakan semula pilihan raya.

Kalau dilihat dari segi demokrasi dan bukannya mengambil kira sudut geopolitik, apa yang berlaku di Myanmar itu mudah untuk ditimbangkan. Walau apa pun yang berlaku, tentera tidak wajar campur tangan dalam politik. Angkatan tentera wajar berada di bawah pentadbiran awam. Tetapi sistem politik Myanmar dari awal telah meletakkan pengaruh besar tentera. Sebahagian kerusi parlimen diperuntukkan bagi wakil tentera. Sebarang keputusan parlimen memerlukan sokongan tentera. Ditambah pula dengan pihak tentera menyokong parti tertentu yang dipimpin oleh bekas tentera. Rampasan kuasa tentera ini hanya melengkapkan kuasa mereka ke atas Myanmar.

Masalah geopolitik merumitkan pelaksanaan demokrasi. Kebimbangan pihak tentera terhadap Barat adalah suatu yang ada asas. Myanmar adalah negara kaya sumber asli dan pelabur-pelabur Barat pasti menyukainya. Tetapi kedudukan geografi Barat menarik perhatian China. Jika Barat bertapak di Myanmar, maka kepentingan strategik China tergugat.

Kelebihan Barat ialah mereka mendukung demokrasi dan hak asasi manusia. Sesuatu yang tidak menjadi keutamaan bagi pihak tentera Myanmar dan China. Rakyat Myanmar pula mahu hidup yang makmur. Bukan saja bebas daripada kemiskinan tetapi juga bebas menyatakan kehendak mereka.

Ada satu anggapan bahawa apa yang utama adalah kesenangan ekonomi. Soal demokrasi dan hak asasi tidak penting. Anggapan ini dipegang oleh China yang berasa bahawa kaedah mereka telah berjaya.

Tetapi di Myanmar, kesengsaraan sebahagian rakyat mereka adalah ketara. Orang Rohingya dihalau keluar. Perang pemberontakan berlaku di banyak wilayah dan berlarutan bertahun-tahun lamanya. Dalam keadaan ini, keutamaan bagi rakyat adalah perdamaian. Tetapi penyelesaian perkara ini bukannya rampasan kuasa.

Ini kerana bagi generasi sekarang yang terdedah pada maklumat dunia luar, perdamaian dan kemakmuran hanya dapat diwujudkan melalui demokrasi. Untuk melawan Barat pun, kaedahnya adalah melalui demokrasi dan pertahanan hak asasi manusia.

Dari segi jangka panjangnya, kaedah Rusia dan China tidak akan memuaskan hati rakyat terutamanya generasi muda. Tetapi itu tidak bermakna negara itu perlu mengikut kehendak Barat. Pelaksanaan demokrasi dan hak asasi adalah untuk rakyat Myanmar dan bukannya memenuhi kepentingan geopolitik Barat.

Sehubungan ini, sistem veto di PBB juga perlu dirombak supaya ia digunakan untuk semua rakyat di dunia dan bukannya bagi memenuhi kepentingan geopolitik kuasa-kuasa besar saja.