Rampasan senjata api milik suspek bunuh Bill Kayong mengejutkan

Rampasan senjata api milik suspek bunuh Bill Kayong mengejutkan

Penemuan tujuh laras senjata api dan 623 butir peluru pelbagai jenis milik suspek bunuh Bill Kayong, Datuk Stephen Lee Chee Kiang oleh polis bukan sahaja mengejutkan ramai pihak, malah dipersoalkan peguam mangsa.

Senjata api dan peluru itu ditemui dan dirampas dari kediaman Stephen di Taman Tanjung Lobang, Miri.

Peguam yang mewakili keluarga Bill Kayong, Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan melahirkan rasa terkejut dengan penemuan itu.

“Saya amat terkejut dengan perkembangan terbaharu ini dan tertanya-tanya, kenapa seorang yang berpangkat ‘Datuk’ sepertinya boleh memiliki begitu banyak senjata api dan apakah keperluannya?

“Saya juga ingin tahu berapa banyak senapang atau senjata api yang boleh dimiliki oleh seseorang yang mempunyai lesen yang disahkan atau diluluskan oleh kerajaan?” katanya.

Menurut Abun, sebagai peguam yang mewakili keluarga Bill atau Allahyarham Mohd Hasbie Abdullah itu, beliau juga seperti orang lain ingin tahu siapakah yang meluluskan semua jenis senjata api yang dimiliki oleh Stephen.

Pendedahan tersebut katanya, bukan hanya mengejutkan tetapi juga menimbulkan kebimbangan di kalangan orang awam.

“Ini yang didedahkan, yang kita tidak tahu pula bagaimana? Saya turut terfikir adakah semua pemilik syarikat perladangan di negeri ini (dibenarkan) memiliki senjata api yang banyak seperti itu,” jelas beliau seperti dilapor Bornoe Post.

Lebih membimbangkan, ujarnya jika senjata api yang dimiliki pengusaha ladang ini digunakan untuk membuli penduduk kampung dengan menakut-nakutkan mereka supaya tunduk dan akur termasuk untuk menyerahkan tanah, ladang dan sebagainya.

“Mungkin kerana mereka memiliki senjata api yang banyak maka ia telah mendorong mereka bertindak berani untuk menakut-nakutkan penduduk di rumah panjang,” ujarnya lagi.

Justeru, Abun mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mempertimbang semula jumlah lesen senjata api yang boleh diluluskan untuk setiap pemohon, bagi mengelak jumlah (senjata api) yang melebihi keperluan sewajarnya.

Katanya, dengan kes tembak yang semakin kerap terjadi di negara ini, sudah tiba masanya bagi kerajaan memantau semua lesen senjata api yang sudah diluluskannya.

Pada masa yang sama, beliau meminta kerajaan untuk membekukan lesen yang disalahgunakan oleh pemilik senjata api seperti yang berlaku dalam kes Bill Kayong.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri baru-baru ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar mendedahkan bahawa lima daripada senjata api yang dimiliki oleh Stephen adalah senapang patah yang didaftarkan di Pejabat Daerah Miri, manakala dua lagi lesen adalah pistol jenama Glock dan Raifal jenama Ruger Ranch .223, dikeluarkan oleh pihak polis.

Dev Kumar memberitahu polis akan membatalkan dua lesen senjata api yang dikeluarkan sebelum ini termasuk lesen untuk senjata api yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Miri.

TAGS