Malaysia Dateline

Muhammad bersama Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmin Hassan bergambar kenangan bersama pasukan penaja Pemuda AMANAH Pasir Puteh malam tadi

“Ramuan untuk kerajaan negeri Kelantan bertukar hampir sempurna”

Ramuan untuk menukar kerajaan yang ada di Kelantan hampir sempurna sebagaimana rakyat menukar kerajaan negeri pada pilihan raya umum tahun 1990 dahulu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Ustaz Muhammad Husain.

Katanya, kemarahan rakyat terhadap sikap angkuh, sombong dan kegagalan Pas dalam mentadbir kerajaan Negeri Kelantan kini, lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku pada 1990 yang lalu.

Muhammad bergambar dengan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan serta jawatankuasa pembentukan Pemuda AMANAH Pasir Puteh malam tadi.

Ketika tahun 1990 dahulu, berlaku perpecahan besar di kalangan Umno yang sedang memerintah Kerajaan Kelantan, ditambah dengan kegagalan pengurusan yang banyak mengabaikan kebajikan rakyat.

Akibatnya rakyat begitu marah kepada kerajaan negeri sehingga mereka menukar kerajaan Umno ketika itu kepada Angkatan Perpaduan Ummah, kata Pengerusi AMANAH Kelantan itu ketika mengimbau situasi sebelum PRU 1990.

“Kini, takdir dan sejarah bagaikan berulang kembali, gelombang kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Pas Kelantan semakin membesar, akibat sikap sombong dan angkuh yang ditunjuk oleh Pas, selain dari gagal menjalankan urustadbir kerajaan negeri yang baik,” kata Muhammad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Penajaan Pemuda AMANAH Kawasan Pasir Puteh malam tadi di hadapan kira-kira 50 pemuda yang hadir.

Beliau yakin dengan perpecahan yang berlaku di antara Pas dan Umno di dalam Muafakat Nasional, ditambah dengan sikap Pas yang kini dilihat mengkhianati perjanjian bersama Umno dalam MN, kerajaan negeri yang ada boleh tumbang.

Katanya, kesungguhan Pas mempertahankan Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) yang merupakan musuh utama Umno, menjadi faktor pemangkin kepada penolakan rakyat terhadap Pas di Kelantan.

“Umno kini sama taraf dengan AMANAH dan Pakatan Harapan di Kelantan sebagai pembangkang.

“Bezanya kini AMANAH dan PH lebih jelas menentang kegagalan urustadbir Pas memerintah Kelantan, manakala Umno setakat ini belum ada kata putus berhubung dengan status kerjasama mereka bersama Pas,” kata beliau.

Sekarang ini, katanya, majoriti rakyat di Kelantan mula berani meluahkan kemarahan dan kebencian kepada kegagalan urustadbir Pas dalam menyelesaikan masalah bekalan air, masalah penyelenggaraaan jalan dan longkang dan perkhidmatan kerajaan tempatan.

“Ia ditambah dengan ketidakcaknaan Kerajaan Pas Kelantan kepada kebajikan rakyat yang semakin terabai.

“Dalam masa yang sama boleh pula beli kereta mewah jenama Mercedes yang baharu dan menaikkan pula gaji para Exco dan Adun mereka,” kata beliau.

Dalam majlis itu, beliau sekali lagi mengulangi kesediaan AMANAH untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama mahu memberikan pentadbiran dan kerajaan yang lebih baik untuk rakyat Kelantan.

“Kita dalam PH sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong prinsip PH dalam menewaskan Pas seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik di Kelantan pada PRU 15 akan datang,” katanya.