Rancak promosi restoran dan gim, lelaki India tular kerana bergaduh kini bergelar ‘influencer’!

Oleh WAN SITI AMINAH

Jumlah pengikut akaun TikTok milik seorang lelaki berbangsa India yang sebelum ini tular kerana bergaduh di sebuah kedai runcit kini mencecah puluhan ribu orang.

Maka tidak hairanlah jika lelaki berusia 39 tahun itu meraih tawaran daripada pemilik restoran dan gimnasium untuk mempromosikan perniagaan mereka di laman TikTok.

Berdasarkan salah satu hantaran dimuat naik di akaun tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Inthiran itu terlihat serius melakukan perkerjaan diberikan pemilik restoran.

Malah rakaman untuk mempromosikan kedai makan yang terletak di sekitar Bentong, Pahang itu juga berjaya mendapatkan 3.2 juta tontonan daripada pengguna TikTok.

Perkongsian tersebut bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah penyanyi dangdut kontroversi iaitu Baby Shima turut memberikan reaksinya di ruangan komen.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna memberikan reaksi positif terhadap kerjaya baharu yang diceburi oleh lelaki India berkenaan sebagai pempengaruh media sosial.

Ramai juga pengguna berkongsi rasa kagum kerana Inthiran berjaya menjadikan satu perkara yang negatif menjadi positif malah mungkin boleh membantu kewangannya.

“Sejujurnya saya menghormati dia. Dengan satu kesalahan, tetapi dia mampu mengubah nasib hidup dia,” kata seorang pengguna yang kagum dengan semangat lelaki itu.

“Ada bakatlah untuk menjadi pelakon. Semoga ‘uncle’ berjaya,” kongsi pengguna lain selepas melihat lakonan Inthiran di dalam video promosi kedai makan berkenaan.

Menerusi hantaran lain pula, lelaki terbabit mempromosi sebuah gimnasium sambil berkongsi pencapaiannya di dalam salah satu seni mempertahankan diri iaitu karate.

Di ruangan komen pula, Inthiran yang mengakui memiliki tali pinggang hitam itu menjawab soalan netizen dengan mengatakan kalah bergaduh ‘satu lawan satu’ dahulu kerana mabuk.

Terdahulu, Inthiran dan seorang tauke kedai runcit di Pulau Pinang dikenali sebagai Goh Yap Eng menjadi perbualan hangat selepas rakaman mereka bergaduh tular di media sosial.

Mereka berdua juga sempat ditahan di lokap di sebuah balai polis sebelum berdamai dan gambar memaparkan dua individu terbabit bersalaman turut disebar luas oleh netizen di pelbagai platform.

Baca juga: Harga cecah RM5,500, netizen geli hati baju butik mewah persis seragam pekerja restoran mamak