Rancakkan kembali kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’

Rancakkan kembali kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’

Kerajaan dicadang agar memperkenalkan semula kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ yang telah dilancarkan pada April 1985, sebagai langkah meningkatkan permintaan terhadap produk anak Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kempen itu antara lain berfungsi menjadi ‘counter-campaign’ kepada usaha anti-nasional iaitu ‘Buy Muslim First’.

Katanya, kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ harus dikembangkan secara meluas terutamanya menerusi media sosial, di mana nama-nama produk tempatan dipromosikan berbanding barangan import.

“Kempen ini juga akan mampu mengukuhkan industri tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dimiliki oleh kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Usaha ini sangat penting bagi menangkis kempen anti-perpaduan yang didalangi anasir politik untuk cuba memecah belahkan rakyat Malaysia atas nama kaum dan agama.

“Kempen seperti ini boleh mewujudkan ‘counter-reaction’ yang negatif daripada warganegara bukan Muslim pada masa akan datang.

“Mana mungkin industri tempatan bangkit, sejajar keluaran luar negara sekiranya rakyat di negara ini mula memilih barangan atas faktor kaum dan agama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, menyifatkan sentimen perkauman seharusnya tidak dipanjangkan kerana dibimbangi akan meninggalkan kesan kepada rencam kaum di negara ini.

“Sentimen perkauman yang sedang giat dimainkan pembangkang tidak harus dipanjangkan ke sektor ekonomi. Sentimen ini jika dibiarkan berlarutan, dibimbangi mengancam perpaduan di kalangan rakyat yang tidak sejajar dengan ajaran Islam sebagai agama rahmat.

“Syarikat-syarikat milik Bumiputera/Muslim dan bukan Muslim juga saling bergantung dalam rantaian bekalan sektor perniagaan di Malaysia. Misalnya, pembekal komponen kepada mekanik Muslim mungkin adalah daripada kaum lain ataupun sebaliknya.

“Bukan itu sahaja, ramai pekerja Muslim bekerja di syarikat-syarikat yang taukenya adalah bukan Muslim. Justeru itu, kempen mengutamakan produk Muslim adalah tidak munasabah dalam memperkasakan ekonomi orang Melayu Islam,” katanya lagi.

Faiz berkata, peluang yang adil dan kompetitif dengan peningkatan pendidikan dan pendedahan yang lebih kepada teknologi dan akses pemasaran, adalah antara kunci penentu pemerkasaan perniagaan Muslim.