Rancang buka pintu Melaka Gateway awal 2018 jadi angan-angan

Rancang buka pintu Melaka Gateway awal 2018 jadi angan-angan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mendakwa rancangan kerajaan negeri untuk membuka pintu Melaka Gateway, projek yang menjadi kebanggaan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu pelancarannya tiga tahun lalu itu, pada awal 2018 ini, akan gagal dan hanya angan-angan.

Beliau berkata demikian setelah meneliti perkembangan projek berkenaan dengan melihat kepada apa seharusnya telah dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual yang dibuat oleh kerajaan.

Projek yang menjadi kebanggaan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu kata Adly, Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini juga didapati tidak menyediakan sebarang peruntukan untuk membantu pembangunan negeri Melaka, termasuk menjayakan projek Melaka Gateway ini.

Ia merupakan sesuatu yang mendukacitakan dan perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Katil (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin di parlimen, kata Pengerusi Parti AMANAH Melaka itu.

Melaka Gateway yang bernilai lebih RM40 bilion itu merupakan projek inisiatif swasta merangkumi pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan yang diiktiraf sebagai projek nasional Bidang Ekonomi Utama Negara.

Antara cadangan pembangunan yang akan dilakukan di situ selain terminal penumpang kapal persiaran antarabangsa di Pulau Melaka East 1 adalah bandar komersial di Pulau Melaka East 2, terminal pukal cecair di Pulau Melaka East 3 dan terminal pelbagai guna termasuk kontena serta taman industri maritim di Pulau Melaka East 4.

“Mengikut perancangan, selepas kerja-kerja penambakan laut selesai, pintu Melaka Gateway akan dibuka pada awal 2018 dan kemudian barulah akan dibangunkan bandar Melaka Gateway itu. Kerja-kerja penambakan laut seperti perjanjian yang dibuat dengan syarikat yang dipilih kerajaan melaksanakannya, sepatutnya selesai pada tahun 2017 dan 2017 hanya tinggal dua bulan untuk tamat.

“Namun sehingga hari ini, kerja-kerja penambakan laut hanya mampu disiapkan setakat 40 peratus sahaja.

“Kerajaan negeri berkata kerja-kerja penambakan itu sebenarnya telah dimulakan sejak lapan tahun dulu, lalu jika begitu, dalam masa lapan tahun hanya mampu menyiapkan 40 peratus, maka berdasarkan perkembangan sekarang, diperlukan 12 tahun lagi untuk mencapai sasaran 100 peratus siap.

“Syarikat yang diberikan konsesi diberikan tanah dan pelbagai kemudahan, sepatutnya tidak mempunyai masalah membuat pinjaman, mendapatkan dana menjalankan projek tersebut,” kata beliau dalam Ceramah Selamatkan Malaysia Pakatan Harapan di Taman Seri Telok Mas, Kota Melaka 15 November lalu.

Menurut Adly lagi, Ketua Menteri, Idris Haron sendiri pun telah bersuara menyatakan kebimbangannya berhubung projek Melaka Gateway ini.

Pada 4 Oktober lalu menurut laporan Bernama, Idris Haron dipetik sebagai berkata pemaju Melaka Gateway digesa pergiat projek yang cuma 40 peratus siap.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES