Malaysia Dateline

Rancang dengan teliti penghantaran pulang pelarian Rohingya

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berpandangan cadangan penghantaran pulang 269 pelarian Rohingya yang baharu masuk ke negara ini ke Bangladesh perlu dibincang dengan pihak negara berkenaan dan UNCHR.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sememangnya terdapat sebuah pulau terpencil Bhasan Char di Bangladesh yang menjadi penempatan yang direncanakan oleh Bangladesh.

MOHD AZMI HAMID

Namun begitu ujarnya, pemindahan mereka dari kem di Cox Bazar masih tidak dapat dilaksanakan kerana kedudukan yang jauh dari sempadan Myanmar.

“UNHCR masih lagi berbincang mengenai proses pemindahan tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelarian terbabit terjamin.

“Penghantaran mereka ke pulau tersebut tertakluk kepada persetujuan Bangladesh serta juga pemantauan UNHCR.

“Menghantar mereka ke negara ketiga untuk masa ini agak sukar kerana pandemik Covid-19 yang dijangka akan menjadi penghalang untuk negara penerima menerima akan pelarian terbabit,” tegasnya.

Beliau juga berkata, proses menetapkan negara penerima seringkali amat lama dan ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

Sejajar dengan itu katanya, MAPIM mengalu-alukan tindakan perikemanusiaan kerajaan Malaysia dengan menerima 269 orang pelarian tersebut bagi mengelakkan mereka mati di tengah laut.

Tambah Mohd Azmi lagi, sindiket pemerdagangan manusia masih berleluasa dan pelarian Rohingya adalah pelarian paling mudah menjadi mangsa untuk diseludup memasuki negara ini.

Oleh kerana itu ia menyarankan supaya Malaysia mengusahakan persidangan khas Asean bagi mencari jalan mengatasi krisis Rohingya.

Beliau juga mencadang agar kerajaan mewujudkan kawalan perairan laut Malaysia Thailand, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar yang lebih ketat supaya sindiket pemerdagangan dapat dihalang dari menerobos sempadan laut untuk menyeludup pelarian Rohingya.

Manakala itu katanya, mereka yang ditahan di pusat tahanan Imigresen yang melibatkan wanita dan kanak-kanak perlu disantuni atas tanggungjawab perikemanusiaan.