Malaysia Dateline

Rancangan Facebook perangi berita palsu diragui

Pakar-pakar media sosial melahirkan keraguan terhadap keberkesanan rancangan Facebook untuk memerangi berita-berita palsu dengan membuat kajian ke atas pengguna tentang sumber-sumber yang mereka yakini.

Dalam satu post terbaru di laman Facebook peribadinya, pengasas dan juga CEO Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau mahu berita-berita yang dimuatkan dalam plaform tersebut adalah daripada “sumber-sumber yang berkualiti dan diyakini”.

“Terlalu banyak sensasi, maklumat yang tidak betul dan polarisasi dalam dunia sekarang,” tulis Zuckerberg.

“Media sosial membolehkan orang ramai menyebarkan maklumat lebih cepat daripada sebelum ini, dan jika kita tidak menangani masalah ini secara khusus, maka kita akan berakhir dengan menyebarkannya lebih luas,” kata beliau menurut laporan Al Jazeera.

Rancangan Zuckerberg untuk memerangi maklumat palsu dalam platform tersebut termasuk menanyai pengguna Facebook sama ada mereka mempercayai sumber-sumber berita tertantu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, penganalisis media sosial mempunyai beberapa keraguan tentang keberkesanan rancangan tersebut dan mempersoalkan sama ada ini adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan ataupun tidak.

Penganalisis teknologi, Larry Magid memberitahu agensi berita Al Jazeera, kajian seperti itu boleh membawa risiko apabila pandangan yang diberikan terbentuk daripada sikap prejudis membenci, atau menyukai sesuatu sumber, bukannya sama ada ia boleh diyakini atau tepat.

“Hanya kerana ia disukai ramai bukan bererti ia boleh dipercayai,” kata beliau.

“Terdapat ramai orang menyukai sumber berita yang secara objektifnya memang tidak betul – dan kita tidak memerlukan pandangan mereka tentang ini, ia satu fakta,” tambah Magid.