Malaysia Dateline

Rancangan hiburan guna isu rogol sebagai jenaka amat memalukan, memualkan

Pejuanita Malaysia mengecam tindakan seorang pelakon lelaki dan seorang pengacara dalam sebuah rancangan hiburan yang secara terbuka membicarakan isu rogol sebagai satu bahan jenaka.

Ketuanya, Datin Che Asmah Ibrahim, menempelak rancangan berkenaan dan menuntut supaya pelakon lelaki, pengacara dan penerbit rancangan tersebut membuat penyataan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Penyataan maaf juga katanya perlu dibuat kepada pelakon wanita, Raja Farah yang menjadi mangsa kepada kenyataan bersifat gangguan seksual itu.

“Pejuanita Malaysia amat kesal dan membantah keras penularan video kontroversi seorang pelakon lelaki di dalam satu rancangan hiburan tempatan di media sosial
yang membicarakan isu rogol sebagai isu jenaka bersifat lucah.

“Perlakuan dan perbualan itu sangat mengaibkan dan bersifat lucah sekali gus merendahkan martabat pelakon lelaki dan pengacara rancangan yang berbicara akan
isu tersebut.

“Ianya juga mengguris emosi dan mencacatkan imej rakyat Malaysia keseluruhannya yang hidup di dalam sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” tegasnya dalam satu kenyataan pagi ini.

Terdahulu, tular satu rancangan hiburan yang mengundang kecaman orang ramai apabila seorang pelakon lelaki menceritakan kembali pengalamannya berlakon sebagai seorang perogol.

Pelakon tersebut memberitahu bahawa watak ‘perogol’ yang dibawanya adalah watak yang paling diminati selain menceritakan kembali adegan bersama seorang pelakon wanita dalam babak tersebut secara berjenaka.

Dalam pada itu, Che Asmah menegaskan bahawa temu bual yang berlangsung itu telah menyentuh maruah keluarga, apatah lagi wanita yang telah dijadikan bahan jenaka lucah itu telah menjadi seorang isteri dan ibu.

Bahkan katanya, kesungguhan lelaki-lelaki yang berada di dalam rancangan itu untuk menjelaskan dengan lebih terperinci aksi rogol ke atas aktres wanita tersebut amat memalukan dan memualkan.

“Rakyat Malaysia tidak dapat bertoleransi akan jenaka lucah melibatkan jenaka rogol, cabul atau jenaka lelaki mengenai susuk tubuh wanita yang dikatakan dapat menaikkan nafsu mereka atau sebaliknya (body shaming) yang semuanya membawa kepada bentuk-bentuk gangguan seksual yang perlu diambil tindakan oleh pihak
berwajib,” katanya lagi.