Rang Undang-Undang demokrat untuk buka sementara kerajaan AS tidak diluluskan Senat

Rang Undang-Undang demokrat untuk buka sementara kerajaan AS tidak diluluskan Senat

Satu rang undang-undang, yang disokong Parti Demokrat, untuk membuka kerajaan Amerika Syarikat (AS) buat sementara waktu tanpa menyentuh isu pembiayaan pembinaan tembok sempadan yang dipohon oleh Rumah Putih, tidak diluluskan oleh Senat AS pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.

Rang undang-undang itu, yang akan membiayai agensi-agensi kerajaan sehingga 8 Feb dan memerlukan 60 undi, telah mendapat 52 sokongan manakala 44 menentang.

Tiada senator Demokrat yang menentang rang undang-undang itu manakala enam senator Republikan iaitu Lamar Alexander dari Tennessee, Susan Collins (Maine), Cory Gardner (Colorado), Johnny Isakson (Georgia), Lisa Murkowski (Alaska) dan Mitt Romney (Nevada), mengundi untuk menyokong bersama-sama anggota Demokrat.

Senator kedua-dua pihak saling menuding jari selepas undian itu, menyalahkan antara satu sama lain dalam isu penutupan kerajaan dan kegagalan mencapai kata sepakat.

“Kita boleh bercakap panjang tentang isu keselamatan di kawasan sempadan sebaik sahaja penutupan ini berakhir, tetapi pihak Republikan perlu berhenti menyembunyikan permainan Presiden Trump dan bekerjasama dengan kami untuk menamatkan krisis ini,” kata Senator Demokrat Patty Murray dari Washington.

“Tindakan Senat Demokrat yang berterusan menolak setiap peluang untuk berkompromi dengan niat baik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Senator Republikan David Perdue dari Georgia menerusi akaun Twitter.

Kegagalan rang undang-undang tersebut serta satu lagi rang undang-undang yang disokong oleh Rumah Putih sebelum itu pada Khamis, bermakna Senat perlu memperbaharui usaha mereka dalam mencapai kata sepakat berhubung isu tembok sempadan dan pembukaan semula kerajaan persekutuan AS yang telah ditutup selama 34 hari.

— BERNAMA