Rang undang-undang pindaan tetapkan kerangka perundangan kembalikan status Sarawak

Rang undang-undang pindaan tetapkan kerangka perundangan kembalikan status Sarawak

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mengulangi bahawa rang undang-undang pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan hanya titik permulaan kepada proses penurunan kuasa yang berterusan dan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pindaan yang sepatutnya dibentangkan di Parlimen semalam adalah untuk menetapkan kerangka perundangan dengan Sabah dan Sarawak sebagai kategori berasingan daripada 11 negeri lain dalam Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata bahawa struktur Perkara 1 (2) Perlembagaan dalam pindaan 2019 yang dicadangkan adalah sama seperti Perkara 1963 (2), kecuali frasa “Negeri-Negeri Tanah Melayu” dan “Negeri-negeri Borneo” tidak lagi digunakan.

“Oleh itu, adalah amat dikesali bahawa Anggota Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak membuat bantahan bersama anggota Parlimen dari UMNO apabila rang undang-undang pindaan untuk mengembalikan status Sarawak dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama semalam.

“GPS sentiasa mendakwa bahawa ia hanya mahu apa yang patut diberikan kepada Sarawak ketika bergabung untuk membentuk Malaysia,” tidak lebih dan tidak kurang, ” kata Chong, yang juga Pengerusi DAP Sarawak, dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selama ini, rakyat Sarawak telah menuntut supaya hak-hak sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan dikembalikan seperti pada 1963 dan ini adalah apa yang kerajaan PH berhasrat untuk melakukan melalui pindaan tersebut.

Anggota Parlimen Stampin itu berkata, dari perspektif Sarawak, pindaan itu merupakan penambahbaikan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan versi 1976.