Malaysia Dateline

Rangsangan tambahan IKS Bumiputera perlu diselamatkan dengan dana khas

Seharusnya skim rangsangan IKS, Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion yang baru diumumkan memberi perhatian khas untuk membantu majoriti usahawan IKS Bumiputera khususnya usahawan Melayu.

Kebimbangan ini dizahirkan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelas beliau ketiadaan bantuan khas ini akan mengenepikan majoriti IKS Bumiputera terutamanya usahawan Melayu yang belum berdaftar dengan LHDN kerana masih baru beroperasi dan bersaiz kecil di seluruh negara dengan pelbagai produk Halal dan Thoyyiban.

“Golongan ini akan menanggung kerugian besar kerana tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 tetapi tiada bantuan khas kepada mereka, malahan majoriti IKS yang berdaftar dengan LHDN adalah bukan Bumiputera.

” Sekiranya diambilkira kempen membantu usahawan dengan pelbagai produk Muslim akan pasti ramai yang akan gulung tikar kerana mereka terpaksa menanggung kerugian besar setelah tidak dibenarkan beroperasi, apalagi tiada bantuan kepada golongan tersebut.

” Rintihan usahawan IKS dan peniaga Melayu yang masih kecil dan baru menceburi pasaran tempatan dan antarabangsa melalui beberapa Dewan Perniagaan dan NGO Melayu Islam perlu didengari dan diberi perhatian,” ujar beliau.

Tegas Mohd Azmi lagi, terdapat ribuan IKS dibawah Mara, Risda, Fama, Felcra, Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya sedang beroperasi secara kecil-kecilan.

Katanya, IKS tersebut merupakan IKS Bumiputera Melayu diperingkat Pusat selain dibawah bimbingan kerajaan negeri.

“Sepatutnya semua usahawan IKS Bumiputera dibawah Kementerian dan agensi kerajaan dan lainnya perlu diabantu dengan insentif RM3000 minima sebulan dan tidak hanya IKS yang berdaftar dengan LHDN sehingga akhir tahun lalu sebagai syarat.

” Jika syarat berdaftar dengan LHDN menjadi perkara pokok maka banyak IKS Bumiputera akan tercicir dan rangsangan tersebut akan banyak membantu usahawan IKS bukan Bumiputera.

” Sejajar dengan itu, ramai usahawan IKS Bumiputera dibawah bimbingan kerajaan yang belum betdaftar dengan LHDN akan tersisih dan dianaktirikan. Kerajaan jangan pinggirkan hak usahawan IKS Bumiputera Melayu yang berpotensi untuk maju dengan produk yang berkualiti, ” kata beliau.

Mohd Azmi yang juga merupakan Presiden Teras Pengupayaan Melayu, turut mempersoalkan pengumuman Perdana Menteri bahawa rangsangan tambahan RM10 bilion menyatakan kira-kira 700,000 IKS akan dibantu melalui skim yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

“Berapa petatuskah daripada bilangan tersebut adalah IKS Bumiputera termasuk Melayu yang layak menerima rangsangan tambahan itu jika syarat tersebut menjadi kriteria.

” Kenapa tidak ada peruntukan khas untuk Bumiputera dibawah Kementerian berkenaan. Kesannya nanti akan wujud jurang ekonomi yang besar antara Bumiputera dan bukan Bumiputera apabila kemelesetan ekonomi bertambah ekoran Covid-19 sehingga membiarkan usahawan Bumiputera cuba bertahan dengan survival sendiri.

“Soalnya kenapa harus digunakan pendaftaran LHDN sebagai syarat wajib sedangkan majoriti pengusaha Melayu adalah mereka yang baru hendak memulakan perniagaan termasuklah untuk mendapatkan sijil Halal bagi melayakkan memperolehi bantuan Matrade pun amat sukar, ” tanya beliau.

Sehubungan itu kerajaan wajar untuk membantu IKS Bumiputera dengan menilai dan mengkaji semula syarat dan kaedah yang dikenakan bagi mendapatkan bantuan ransangan ekonomi yang disediakan dengan mempermudahkan cara serta tidak menyulitkan dengan pelbagai kerenah dan pra syarat yang ditetapkan.