Rania Zara Medina dilantik ikut prosedur, kata Dr Dzulkefly

Rania Zara Medina dilantik ikut prosedur, kata Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pelantikan seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM), mengikut prosedur yang betul.

Beliau berkata, Timbalannya, Dr Lee Boon Chye yang juga Pengerusi CCM telah mengambil kira segalanya dalam pelantikan tersebut.

“Pelantikan telah pun dibuat. Yang penting, prosedur dipatuhi.

“Adakah anda membuat keputusan itu? Adakah anda membuat kesimpulan itu? (merujuk ke arah wartawan),” soal pemimpin AMANAH tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan adakah pelantikan Rania Zara itu menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pelantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai AJK dalam CCM Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan bagi penggal 2019-2021, mendapat kritikan ramai di media sosial.

Pelantikan tersebut menjadi panas selepas Rania Zara sendiri membuat pengesahan mengenainya di akaun Facebook miliknya, 8 Julai lalu.

Rania turut memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.