Rantau Panjang perlukan PBT berasingan, kata bakal calon PH

Rantau Panjang perlukan PBT berasingan, kata bakal calon PH

Mohd Ridzuan Mohamad

Bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun Gual Periok Mohd Ridzuan Muhammad berkata, perkara ini akan menjadi agenda penting beliau jika diberi mandat dalam pilihanraya PRU14 nanti.

“Sungguh menyedihkan apabila kerajaan tempatan di sini ditadbir dari Pasir Mas, banyak perkara yang menyusahkan rakyat tidak diselesaikan.

“Rantau Panjang sebagai destinasi pelancongan juga tidak dirancang pembangunannya dengan baik menjadikan bandar itu dalam keadaan tidak terurus dan menyakitkan pemandangan,” katanya.

Sebagai bandar sempadan katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Rantau Panjang ini mesti wujud berasingan bagi membolehkan penduduk tempatan mengambil bahagian lebih cergas.

Pembinaan pusat perniagaan baharu dan perpindahan dari kawasan asal nyata telah menimbulkan masalah besar kepada peniaga.

“Pandangan peniaga dan orang ramai mengenai perkara ini yang tidak dilayan nyata telah memberi kesan buruk.

“Kini ramai peniaga yang gulung tikar dan kembali ke tempat mereka berniaga dahulu walaupun dalam keadaan daif,” katanya.

Menurutnya PBT yang ditadbir secara jarak jauh dari Pasir Mas itu juga gagal menyelesaikan masalah prasarana asas dan kawalan ternakan yang berkeliaran.

Pekan ini yang setiap tahun berlaku banjir berhadapan dengan masalah takungan air kerana longkang-longkang yang tidak diselenggara.

“Sejak kami menubuhkan AMANAH dua tahun lalu sekurang-kurangnya dua kampung yang digenangi air sepanjang tahun kini telah berjaya kami selesaikan masalah,” katanya.

Mengenai binatang ternakan yang berkeliaran tanpa kawalan di bandar itu beliau yang merupakan seorang peguam berkata pihak PH telah merangka cadangan penyelesaian.

“Ini melibatkan insentif bantuan kandang kepada penternak, padang ragut dan penanaman rumput untuk makanan haiwan.

“Kita yakin pengundi akan memilih PH kali ini untuk menolak regim kleptokrasi di peringkat nasional dan menyelesaikan masalah tempatan,” katanya.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0