Malaysia Dateline

Rapatkan hubungan, hadapi pelbagai cabaran

Rakyat negara ini diminta meningkatkan tahap toleransi antara mereka dan merapatkan hubungan antara satu sama lain bagi menghadapi pelbagai ancaman dunia sekarang ini.

Sehubungan dengan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Khalid Abd Samad berkata, kerjasama semua pihak khasnya ulama dan umarak (pemerintah) serta pemimpin masyarakat dan rakyat amat penting dalam mencari penyelesaian yang terbaik kepada semua masalah yang melanda negara.

“Kita bertuah kerana tidak diuji seperti negara-negara Islam lain. Namun begitu kita tidak boleh leka dengan apa yang ada,” kata Khalid semasa memberikan ucapan aluan di majlis Prima Dakwah yang menampilkan Ustaz Abdul Somad, ulama dari Indonesia di Stadium KLFA Cheras malam tadi.

Orang ramai yang memenuhi Stadium Cheras malam tadi.

Lebih 3,000 penduduk sekitar Kuala Lumpur menyertai perhimpunan malam tadi termasuk Timbalan Menteri Datuk Dr Shahrudin Md Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Polis Kuala Lumpur dan ramai lagi.

Dunia sedang hadapi ancaman dari virus Corona yang bermula di Wuhan, China. ketika ambulan sibuk di sana, polis terpaksa sibuk di negara ini apabila banyak berita palsu disebarkan yang antaranya menjadi ancaman kepada hubungan antara kaum.

Majlis malam tadi bermula dengan solat Maghrib, solat hajat dan seterusnya kuliah oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ucapan Khalid dan seterusnya kuliah daripada Ustaz Abdul Somad, ulama dari Indonesia itu.

Selain Stadium Cheras malam tadi, malam ini Abdul Somad akan berucap di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya pula.