Malaysia Dateline

Rapuhnya jaringan keselamatan sosial rakyat

Pengumuman Menteri Kewangan bahawa hanya 32 peratus pencarum KWSP mempunyai RM5000 dan ke bawah di dalam akaun 1 mengejutkan

Di tengah-tengah keghairahan pelbagai pihak menggesa kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan RM10,000 daripada akaun 1 mereka bagi menghadapi impak sosial dan ekonomi kesan daripada wabak Covid19, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil mengejutkan umum dengan pendedahan bahawa 32 peratus daripada lebih 14 juta pencarum KWSP hanya  mempunyai RM5,000 dan ke bawah di dalam akaun 1 masing-masing.

Sejumlah 10 peratus pencarum pula mempunyai antara RM5,000 dan RM10,000 dalam akaun 1 manakala 42 peratus pencarum mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun 1.

Ini bermaksud 6.13 juta pencarum KWSP tidak layak untuk mengeluarkan simpanan mereka jika cadangan ini diterima kerajaan memandangkan jumlah simpanan pada akaun 1 tidakpun mencapai RM10,000.

Malah jika mereka layak untuk mengeluarkan  simpanan dari akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan sebagai langkah mengurangkan beban akibat kesan penularan wabak Covid-19, kira-kira 4.67 juta pencarum hanya mampu menerima pembayaran kurang dari 6 bulan berbanding 12 bulan yag dibenarkan kerajaan kerana kekurangan tabungan.

Pastinya angka ini amat memeranjatkan kerana ia memberi gambaran betapa rapuhnya  jaringan keselamatan sosial negara ini khususnya bagi pekerja-pekerja di luar sektor awam.

Berbanding 1.1 juta kakitangan awam yang majoritinya mempunyai pencen, nasib yang dialami pekerja swasta amat jauh berbeza.

Timbalan Ketua KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish dalam satu majlis di Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini mengakui  seramai 7.88 juta atau 54 peratus daripada keseluruhan 14.6 juta pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000.

Jumlah ini, katanya amat rendah berbanding simpanan asas RM240,000 yang diperlukan untuk menjalani kehidupan selama 20 tahun selepas persaraan pada usia 55 tahun. Simpanan yang kurang RM50,000 itu tidak mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan harian yang memerlukan perbelanjaan asas RM1,000 sebulan.

Menurut beliau, purata jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada 75 tahun. Ini bermakna mereka yang bersara pada usia 55 tahun akan menempuh tempoh persaraan selama 20 tahun.

Berdasarkan kajian KWSP juga, tahap pengurusan kewangan secara bijak atau literasi kewangan di kalangan rakyat Malaysia hanyalah 36 peratus berbanding Singapura (59 peratus) malahan Myanmar (52 peratus).

Fenomena ini dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan gelandangan yang terpaksa bergantung harapan untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal daripada kerajaan apatah lagi jika warga emas itu diabaikan anak dan waris terdekat.

KWSP kini menguruskan caruman pekerja daripada 530,000 majikan membabitkan dana berjumlah RM940 bilion.

Fakta-fakta di atas banyak merujuk kepada rakyat yang mencarum dengan KWSP. Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja sendiri, peniaga kecil, nelayan pantai, penoreh getah mahupun pesawah padi yang tidak mencarum?

Pastinya kehidupan mereka lebih terhimpit di waktu wabak Covid19 ini. Tanpa tabungan dan jaminan pendapatan, mereka wajar dibantu untuk mengharungi saat getir ini.

Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mensasarkan  Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hanya ada 65 juta pencarum KWSP daripada 155 juta tenaga kerja di negara ini dengan yang bekerja sendiri dan peniaga kecil tidak mencarum

 

Kriteria asas negara berpendapatan tinggi adalah mempunyai pendapatan negara (GNI) sebanyak US$12,375 (RM51,578.62). Pastinya sasaran itu sukar dicapai. Sehubungan itu, Bank Dunia pada semakan separuh penggal RMK-11, telah meletak target baru Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2022 sehingga 2025.

Jangkaan ni dilihat sebagai matlamat mampu capai setelah melihat anggaran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada  2019 dan 2020. Namun dengan fenomena Covid 19 dan kesannya kepada ekonomi negara, serantau dan antarabangsa, sasaran itu pastinya berubah lagi.

Siapa juga yang menerajui kerajaan, beban dan tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara semakin mencabar. Suasana politik yang tidak menentu dan kegagalan kerajaan untuk melaksanakan strategi berkesan bagi menghadapi Covid 19 pastinya memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Tindakan beberapa kerajaan negeri yang berbelanja mewah, menukar kereta rasmi Exco dan Menteri Besar, memperuntukkan bonus puluhan ribu untuk Exco negari, malah menaikkan gaji Menteri Besar, Exco dan Adun (dengan tarikh kuatkuasanya diundurkan) adalah tindakan yang tidak sensitif dengan musibah yang ditanggung rakyat.

Ketika rakyat bergelumang dengan kepayahan hidup, perasaan empati perlu wujud di kalangan mereka yang berkuasa. Negara terpaksa berhutang untuk membayar hutang, namun pemimpin masih berselera untuk hidup mewah dengan wang perbendaharaan negeri dan negara.

Hakikatnya ia bukanlah rezeki yang patut disyukuri. Jelas ini satu ‘rompakan’ di siang hari.

 

* TAUFEK YAHYA ialah bekas ketua pengarang Harakah dan pernah menjadi setiausaha akhbar Ketua Menteri Melaka.