Malaysia Dateline

Rasa cinta pada negara perlu ditanam tanpa mengira hari

Setelah berlalunya tarikh 16 September, pastinya program-program yang membabitkan berkenaan dengan semangat sayang dan cintakan negara sepertinya dilihat berkurangan.

Ahli Dewan Negeri (Adun) Senggarang, Johor, Khairuddin A Rahim, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana semangat cintakan negara perlu terus disemai.

Katanya, program menanamkan rasa cinta kepada negara seperti yang berlangsung di waktu sambutan kemerdekaan perlu diteruskan bagi tujuan yang baik itu.

“Tidak ada masalah sekiranya program-program menyemai rasa cinta pada negara ini diteruskan di luar bulan kemerdekaan.

“Rasa cinta pada negara bukan hanya berlaku sepanjang tempoh bulan kemerdekaan sahaja.

“Pelbagai aktiviti perlu diadakan untuk memupuk atau menanam rasa cinta pada negara seperti yang berlaku dalam bulan kemerdekaan,” ujar beliau.

Khairuddin yang ditemui sewaktu program Konvoi Merdeka Sayangi Malaysiaku anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dun Senggarang itu telah berhasrat untuk memupuk lagi kesedaran cinta pada negara.

Selain itu, anak muda adalah sasaran beliau untuk didekati bagi menyentuh perasaan mereka untuk menjadi warganegara yang sayang akan negara.

“Anak muda perlu diberikan pendekatan yang baik bagi mereka memahami betapa pentingnya tahap sayang pada negara.

“Selain itu, semangat kebersamaan terhadap semua kaum perlu dipupuk untuk menjadi rakyat saling menghormati di antara satu sama lain,” ujarnya.

Dalam program tersebut, Khairuddin turut melepaskan 150 motorsikal berkuasa tinggi dalam konvoi mengibarkan jalur gemilang di Pantai Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.