Malaysia Dateline

Rasa diri ‘ahli syurga’ mahu disanjung walaupun…

AZIZ AHMAD

Menjaga hati sesama insan dengan memanggilnya dengan ungkapan dan gelaran yang baik-baik serta disukai merupakan salah satu doa dan juga ibadah buat diri kita dan sesama manusia sama ada sesama muslim atau tidak.

Ia merupakan satu perkara yang termasuk akal yang perlu dititikberatkan dan diambil perhatian agar tidak menimbulkan isu yang kurang enak didengar.

Ramai juga yang suka dan gemar agar mereka diberi dan dipanggil dengan gelaran tertentu malah akan menegur atau memarahi jika tidak dipanggil dengan ‘gelaran’ yang sepatutnya seperti Dr (kedoktoran), Haji atau Hajah, Dato atau Datin, Tuan atau Puan dan sebagainya. Begitu juga kepada mereka yang digelar ulama, ustaz, daie, lebai dan sebagainya.

Yang merasakan diri mereka ‘ahli syurga’ juga tidak terlepas dari perasaan ego dan bangga diri, turut mahu di sanjung walaupun ilmu dan akal, sikap dan kelakuan mereka tidak menunjukkan atau dinobat sebagai sedemikian.

Bagi mereka yang merasakan diri mereka ujub (lebih dari orang lain) dalam bab dan hal tertentu perlu muhasabah diri kerana mereka juga perlu di ingatkan bahawa mereka juga di uji oleh Allah agar tidak menjadi angkuh, sombong atau bongkak yang boleh menjejaskan keimanan terhadap yang maha berkuasa.

Namun kontroversi oleh segelintir mereka yang (kononnya) berkopiah, berketayap, berserban , berjubah, berjanggut dan sebagainya telah menjejaskan dan mencemarkan kepercayaan terhadap mereka yang di gelar ulama, ustaz, lebai , daie dan sebagainya.

Menurut Dato’ Dr. Harun Din dalam al-Quran Karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan untuk merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama Islam, khusus hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja.

Kedudukan mereka sebagai ulama’ adalah satu pengiktirafan masyarakat dan bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’.

Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata gelaran ulama dan ustaz dibimbangi menyebabkan masyarakat akan terkeliru dan menyangka fakta yang salah itu benar kerana gelaran berkenaan.

Tokoh besar dunia pun takut untuk memanggil diri mereka ulama. Di Malaysia, dengan mudah wujud istilah ini.

Jika memang ada latar ilmu yang memadai, maka tidak mengapalah digunakan. Bimbang sebaliknya.

Kita tentu tidak mahu orang ramai menerima dan menelan apa sahaja yang ‘ulama’ mereka beritahu. Padahal, maklumat ‘ulama’ itu bukan sahaja dangkal tetapi tidak berasas.

Ulama’ dahulu tidak mendapat apa apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai al-Allamah (seorang berilmuan pengetahuan tinggi).

Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirafan masyarakat kepada mereka.

Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama, patuh kepada hukum Allah, amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan (kini Menteri Agama) Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di dalam buku Gelaran Ulama: Ustaz (bagi Malaysia dan nusantara) ialah guru agama lelaki yang mempunyai ilmu pengetahuan di dalam agama. Ustazah pula adalah guru agama bagi perempuan.

Kalimah ustaz bermaksud guru, iaitu sesiapa yang mengajarkan ilmu. Istilah Ustaz Musyarik/ أستاذ مشارك pula merujuk kepada Profesor Madya bagi universiti-universiti di negara-negara Arab. (Laman Web al-Ma’any)

Dr Mohd Soberi Awang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menyatakan perkataan lebai berasal daripada istilah Islami yang membawa maksud menyahut seruan (kebaikan) seperti dalam talbiyyah ketika mengerjakan haji.

Ini menunjukkan bahawa maksud ‘Lebai’, sangat murni dan baik.

Tapi macam juga gelaran-gelaran yang lain yang dikaitkan dengan Islam, lebai pun disalah guna dan dipesongkan.

Dalam tahun 50an dan 60an, lebai biasanya dilihat memakai ketayap, dikira bawah sikit daripada tok guru. Orang biasa pakai songkok. Hanya tok guru dan orang yang sudah mengerjakan haji akan pakai jubah dan serban. (A Kadir Jasin)

Istilah lebai itu diambil daripada perkataan Tamil ‘leb-bai’ atau ‘lab-bay’ atau pun le-vey. (Petikan dari Asal Usul Perkataan Lebai)

Dalam bahasa Ibrani (Hebrew atau bahasa orang Yahudi) mereka juga sebut “levy” (serupa jenama seluar jeans Levi). Le-vy di sebut lee-vai.

Levy adalah seorang padri atau sami agama Yahudi.

Adalah lebih baik jika kita berusaha memperbanyakkan amal soleh, ikhlas, mengikuti sunnah Rasulullah dan selalu berwaspada dari ketertipuan dalam beramal sebagai bekal menuju kehidupan akhirat.

Kita tentu tidak mahu kelihatan baik tetapi hakikatnya catatan amal sebenar tak berguna sedikitpun kerana tidak memenuhi persyaratan padahal ia mengira akan selamat.