Malaysia Dateline

Istana Kehakiman Putrajaya

Rasa erti kemerdekaan dengan perkasa perlembagaan negara, kata Abdul Hadi

Pas berharap rakyat Malaysia dapat mengambil semangat kemerdekaan dengan memperkasa perlembangaan negara yang mengutamakan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata untuk memahami kemerdekaan yang menerap nilai perpaduan dan kebangsaan, rakyat Malaysia perlu memperkasa dan mendaulatkan Islam sebagai agama yang memerintah dan bukannya yang diperintah.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Menurutnya, warisan dan sistem penjajah yang diwarisi seharusnya diambil dalam konteks positif, malah perlu diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat majmuk untuk mendidik rakyat.

“Sepatutnya perlembagaan negara dipinda mengikut sesuai dengan masa termasuklah mendaulatkan islam itu sendiri dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di mana bahasa ilmu mesti diperjuangkan.

“Kita kena sedar bahawa mana-mana negara yang berpegang dengan dasar negara dia sendiri seperti Jepun, dan korea yang menggunakan bahasa dia sendiri, sudah menjadi satu negara maju.

“Oleh kerana itu kita perlu mengisi kemerdekaan ini agar betul-betul merasai erti kemerdekaan. Dengan mewarisi sistem zaman penjajah, ia bermaksud Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kebangsaan dan sebagai bahasa Ilmu untuk mendidik rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abdul Hadi berkata, mendidik rakyat dengan bahasa asing hanya akan memakan masa dan akan menerima lebih banyak kesan negatif berbanding kesan positif.

Jelasnya, untuk melahirkan ilmuwan juga perlu dilakukan dengan cara dan pendekatan sendiri.

“Mengikut sistem yang diwarisi zaman penjajah bermaksud Bahasa Melayu menjadi bahasa kerajaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu kerana nak menurunkan ilmu pada rakyat mesti menggunakan bahasa itu sendiri dan bukan bahasa asing.

“Oleh kerana itu saya berharap ulangtahun kemerdekaan ini kita lakukan dengan semangat dan melakukan muhasabah untuk memperkasa perpaduan, supaya kita mengisi kemerdekaan dengan cara yang sebenarnya.

“Walaupun pengaruh penjajah masih ada di saat mereka sudah balik ke negara-negara mereka, janganlah kita amalkan sistem, undang-undang atau budaya negatif mereka,” ujarnya.