Peniaga curi perhatian jual cendol Durian dengan harga tak masuk akal, semangkuk RM3!

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai hidangan pencuci mulut diminati ramai iaitu Cendol Durian hingga mengundang perbincangan hangat di kalangan pelayar platform TikTok.

Mana tidaknya, Cendol Durian berkenaan bukan sahaja dihidangkan dalam kuantiti yang banyak malah harganya juga cukup terjangkau meskipun menggunakan bahan ‘kayangan’.

Berdasarkan hantaran tular yang dimuat naik pengguna TikTok dikenali sebagai Ahmad Azwan Al Fateh itu, cendol dihidangkan bersama raja buah tersebut dijual dengan harga RM3.

Menerusi gambar yang dikongsikan Ahmad Azwan, dapat dilihat peniaga menghidangkan cendol tersebut bersama jagung dan durian dalam kuantiti banyak iaitu sekitar tiga ulas.

Difahamkan, lokasi gerai yang menjual hidangan pencuci mulut dengan harga terjangkau tersebut terletak di Selangor atau lebih tepatnya di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok mengakui agak sukar untuk mempercayai bahawa masih wujud peniaga menjual hidangan tersebut dalam harga yang cukup murah.

Ramai juga pengguna menyifatkan peniaga itu seperti bersedekah sambil berniaga selain mendoakan supaya pemilik gerai tersebut dimurahkan rezeki kerana tidak mengejar keuntungan semata-mata.

Para pelanggan yang pernah mengunjungi gerai Cendol Durian tersebut turut mengakui bahawa semua hidangan sememangnya dijual dalam harga cukup terjangkau malah rasanya juga menyelerakan.

“Kepada mereka yang tak pernah mengunjungi kedai ini, memang begitu harganya. Kaw-kaw dia buat sedekah. Yang tak mampu juga boleh merasa. Terbaik tauke dia,” kata seorang pengguna.

“Semalam pergi beli dengan suami sebabnya ibu mentua teringin. Beli tiga, dia sebut harganya 39 (tiga, RM9). Jadi suami bayar RM50. Sekali dia pulang balik RM41. Terpinga sekejap. Semoga dilimpahkan rezeki lagi. Amin.” Kongsi pengguna lain.

Susulan tularnya perkongsian itu, pemilik gerai berkenaan tampil memuat naik satu hantaran di platform Facebook memaklumkan bahawa harga yang ditawarkan tersebut adalah sebahagian daripada promosi.

Jelas pemilik gerai itu, mereka yang mahu mendapatkan Cendol Durian dengan harga RM3 bolehlah membelinya segera sebelum tarikh promosi tamat iaitu sehingga 2 November ini.

“Ramai yang bersyukur, ramai yang puji. Ramai yang tidak percaya dan ramai juga yang kecam. Janji Atok gembira dapat tengok kamu semua makan benda yang dikatakan selalunya mahal. Jadi Atok sambung promosi sehingga 2 November ini.” Jelasnya.

Baca juga: Makanan tradisi Malaysia mendunia lagi, pemuda teruja jumpa gerai nasi lemak di Hawaii