“Rasa naiklah harga diri, rasa mahal” – Nora Danish elak berpegang tangan masa berlakon, jaga imej muslimah

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah berlakon sejak berusia awal 20-an, Nora Danish sudah membawa pelbagai watak dan mula dikenali menerusi siri komedi Puteri.

Baru-baru ini, Nora memilih untuk bertudung dan mula menjaga imej sebagai wanita muslimah.

Tampil manis dengan mengenakan tudung, Nora yang terkenal kerana wajah awet muda mengaku seronok berlakon tanpa bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Menerusi satu temubual bersama Hib Gam, Nora bersyukur menerima tawaran yang bersesuaian dengan imejnya kini.

“Saya masih berlakon, tetapi ada pantang larangnya sesuai dengan imej saya yang telah berhijab. Memang tidak berpegangan tangan.

“Seronok perasannya. Selama ini bagi mereka yang tahu perjalanan hidup saya, kalau berlakon tidak pegang-pegang itu bukanlah Nora Danish.

“Sekarang apabila berlakon tidak perlu sentuh-sentuh perasaannya berbeza, terasa diri kita begitu mahal.

“Termasuklah apabila saya keluar bertudung dan tidak perlu bersalaman dengan bukan muhrim rasa naiklah harga diri, rasa mahal,” ujarnya dalam temubual bersama Hib Glam.

Pelakon berusia 42 tahun itu juga menegaskan perkara paling sukar selepas berhijrah adalah istiqomah.

Tambahnya selepas bercerai, dia sebolehnya mahu mengenali diri sendiri dan lebih dekat dengan Allah berbanding cuba mencari jodoh lain.

“Buat masa sekarang memang saya tidak fikir lagi (soal mencari pasangan) sebab masih terlalu baru (bercerai).

“Lagipun saya dalam fasa ingin berhijrah dan fokus lebih ke arah itu. Tapi sejak berhijab memang ramai cuba mendekati daripada kalangan kawan-kawan termasuklah orang jauh.

“Cuma saya cakap, bukan sekarang,” tambahnya.

Nora dan Nedim Mohamad Nazri sah bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl.

Pada masa sama Nora mempunyai seorang lagi anak bersama Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai, Putra Rayqal sebelum bercerai pada 2008.

Baca juga: Akaun IG Jihan Muse diserang netizen, mohon henti lawak perli orang lain – “Ketinggalan zaman!”