Malaysia Dateline

Rasa percaya, hormat kepada Bersatu semakin menipis, akui Khaled

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendedahkan kepercayaan dan saling menghormati antara partinya dan Bersatu semakin ketara selepas tujuh bulan kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN) terbentuk.

Menurut Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018 itu, kegelisahan Umno dengan Bersatu semakin menyerlah sepanjang bersama dalam gabungan blok pemerintah.

“Umum mengetahui kenapa Umno bukan sahaja tidak mempercayai Bersatu. Malah, ‘mutual respect’ yang tersisa juga telah semakin menipis,” katanya hari ini.

Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Bhd (Boustead) itu berkata, Umno telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh berkenaan kegelisahan parti itu kepada Perdana Menteri.

“Umno tidak perlu menjelaskan segala kegusarannya dengan lebih panjang lebar. Melainkan perdana menteri dan Bersatu sengaja untuk tidak memahaminya atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama.

“Kononnya Bersatu yang menyelamatkan Umno dan menjadikan Umno kerajaan.

“Sekalipun naratif itu tidak tepat, sekarang bukan masa yang sama untuk berperang dengan naratif dan perspektif,” katanya.

Sehubungan itu, Khaled menegaskan sudah tiba masa untuk Muhyiddin Yassin menilai dengan berani dan ikhlas berkenaan haluan kerajaan pada masa ini susulan dari tindakan Umno mutakhir ini.

“Banyak pihak melihat kerajaan yang beliau (Muhyiddin) pimpin waktu ini adalah sangat lemah dengan keanggotaan kabinet yang seakan tidak berfungsi.

“Sebarang keputusan yang dilakukan oleh Umno akan tentunya mengubah kerajaan.

“Perdana menteri pastinya tahu bahawa keutamaan Umno ialah untuk terus cuba mempertahankan kerajaan yang sama-sama ia bentuk, jika perubahan radikal dapat dilakukan kepada kerajaan yang ada sekarang,” tambah Khaled lagi.