Malaysia Dateline

Rasa disindir punca isteri pertama bekas jurulatih serang bini kedua

Tular sebelum ini mengenai jurulatih bola sepak yang bernikah kali kedua tanpa pengetahuan isteri pertama.

Isteri pertama dikatakan hanya mengetahui hal tersebut baru-baru ini.

Tidak berpuas hati, dua wanita yang juga isteri pertama dan kedua itu bergaduh di sebuah restoran di Shah Alam awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, seorang wanita yang juga isteri kedua itu tampil membuat laporan polis sejurus kejadian berkenaan, pukul 2.18 pagi.

Katanya, suspek yang merupakan isteri pertama dipercayai menarik rambut pengadu di dalam restoran tersebut.

“Ia kemudian membawa kepada pergaduhan dan pertengkaran di luar premis.

“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan akibat suspek tersindir dengan kenyataan pengadu dalam sebuah program dan marah berkahwin dengan suami tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Menurut Mohd. Iqbal, kedua-dua pihak termasuk bekas jurulatih itu sudah dipanggil untuk diambil rakaman percakapan dan suspek turut membuat laporan polis pada hari sama.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” ujarnya.

Baca juga: Bawa nasib baik kepada negara, Vietnam guna kucing sebagai simbolik Tahun Baru Cina