Malaysia Dateline

Rashid mengaku hadir kenduri durian selepas diserang kiri kanan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon hari ini mengakui video kenduri durian yang tular sejak semalam merupakan video terbaru dan bukan video lama seperti yang didakwanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu dalam satu kenyataannya berkata, kekeliruan timbul apabila beliau menjawab pertanyaan dari media yang menghubunginya tanpa menonton terlebih dahulu rakaman tersebut.

Beliau juga meminta maaf dan berjanji akan memberikan kerjasama dengan pihak polis yang sedang menyiasat insiden itu.

“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya.

“Saya mohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut dan saya berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak PDRM,” katanya.

Pada semalam, Rashid mengatakan video acara durian itu adalah video lamanya pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa pihak mendakwa kenyataan itu sebagai satu penipuan.

Ada pihak mengatakan bahawa ‘kenduri durian’ itu berlaku pada 27 Jun lalu iaitu ketika lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di Johor.

Beberapa individu yang berada di dalam video itu turut dilihat jelas di dalam program yang dihadiri Zuraida Ahad lalu.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Rashid juga menjelaskan bahawa lawatan ke kebun durian berkenaan dilakukan selepas menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

Katanya, kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Zuraida ke Batu Pahat dan mereka menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang.

“Selepas rombongan menteri pulang, saya dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.

“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya lagi.