Malaysia Dateline

Rasional kilang elektronik beroperasi: Pemuda Umno cabar Azmin buat sidang media ‘live’

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Mohamed Azmin Ali untuk tampil secara langsung dalam sidang media bagi menjelaskan rasionalnya kilang elektronik dan elektrikal beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Dalam hantaran ringkas di Facebooknya, Asyraf berkata, beliau kurang faham apabila kilang elektronik dan elektrikal turut dibenarkan beroperasi ketika PKP penuh yang akan bermula esok.

“Saya cadangkan Menteri MITI Azmin Ali tampil secara live dalam sidang media untuk menjelaskan rasional setiap industri kilang yang diluluskan atas nama Essential Services,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan 12 jenis sektor perkilangan dibenarkan ketika PKP penuh selama 14 hari bermula esok.

Ianya termasuk sektor elektronik dan elektrikal , aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan ‘overhaul’), makanan dan minuman dan bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Dalam pada itu, Najib Tun Razak turut membidas kerajaan agar Azmin Ali tidak diberi “kuasa veto” untuk memasukkan mana-mana kilang tertentu dalam senarai dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu bagi mengelak “towkay” melobi.

Ini kerana merujuk kepada beberapa keputusan kerajaan ketika pelaksanaan PKP 2.0 yang menyaksikan banyak kilang dibenar beroperasi sehingga menyebabkan usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 mengambil masa lama.

Kerajaan telah mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyebut dalam kenyataan sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti dan perkhidmatan ekonomi perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).