Malaysia Dateline

Rasisme bunuh keharmonian, kesatuan rakyat

Rasisme membunuh keharmonian dan kesatuan rakyat di dalam negara justeru, tiada toleransi kepada rasisme, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Sambil mengecam dan mengutuk keras komen berunsur rasis yang dilemparkan kepada pemain badminton negara, S. Kisona sebelum ini, Young Syefura berharap, tiada lagi komen rasisme kepada sesiapa pun di dalam negara ini.

“Sebagai rakyat yang hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai berbilang kaum, seharusnya kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Perbezaan yang ada bukanlah satu senjata untuk membunuh keharmonian, namun ia adalah satu kekuatan dan kekayaan untuk membentuk sebuah negara yang kaya dengan adat dan tradisi berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang pemilik akaun Facebook dikatakan memuat naik status bergambar dengan kata-kata berunsur perkauman terhadap Kisona.

Young Syefura menambah, seharusnya Kisona diangkat sebagai wirawati negara yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia dengan keupayaan beliau menjadi wakil badminton negara.

ADUN Ketari itu menjelaskan, Kisona telah mengorbankan masa dan tenaga beliau untuk meletakkan Malaysia di mata dunia.

“Kalah dan menang adalah adat sesebuah pertandingan dan juga satu proses pembelajaran untuk menjadikan S. Kisona seorang yang lebih hebat lagi di masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, sokongan kepada atlet negara tidak boleh hanya sewaktu mereka berjaya memenangi sesebuah kejohanan semata-mata.

“Katakan tidak kepada rasisme waima apa sekali pun keadaan. Kita adalah rakyat Malaysia, bangsa Malaysia yang kaya dengan budi bahasa dan tatasusila yang sopan,” katanya.