Malaysia Dateline

Rasisme cemar Hari Pertama Parlimen

Apa yang jadi di Parlimen pada hari pertama kamarnya dibuka menunjukkan bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat dari Perikatan Nasional (PN) perlu belajar semula erti kata rasisme dan seksisme.

Jika tidak, ia ibarat ketam mengajar anak berjalan.

Pasti sukar membentuk sebuah negara yang lebih rukun dan celik pendidikan gender jika setiap kali persidangan Parlimen, rakyat dipertontonkan dengan adegan ahli-ahli Dewan Rakyat melemparkan serangan berbaur rasis dan seksis.

Poligenis dan sejarawan dunia, Christoph Meiners telah mengelaskan umat manusia kepada “beautiful White race” dan “ugly Black race”. Pengelasan ini bukan sahaja memecahkan, malah membentuk stereotaip negatif pada satu kelompok masyarakat dan mengangkat sekelompok yang lain kerana warna kulit semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup bersama-sama sebagai masyarakat majmuk, kita wajar hidup dalam kebersamaan dan tidak memberikan layanan berbeza pada sesiapapun.

Masyarakat Malaysia, terutama sekali pemimpin-pemimpin negara yang menjadi perhatian umum sepatutnya tidak jatuh dalam pengelasan yang dicipta Christoph ini. Ia jelas mencetuskan patologi (permasalahan sosial) dan akhirnya mengakibatkan pertelingkahan dan perpecahan kaum.

Sungguhpun ahli parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim telah menarik semula perkataan “gelap” dan memohon maaf disebabkan kekecohan yang ditimbulkannya pada 13 Julai lalu, beliau dilihat tidak jujur kerana alasan yang digunakannya untuk menutup tindakan rasisnya itu dilihat tidak berasas oleh ahli parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Menurut Kasthuri dalam temu bual bersama Sinar Harian Live pada 15 Julai, apabila ahli parlimen Baling itu menyambung ujaran “gelap” itu dengan mengatakan “pakailah bedak”, ia jelas merujuk kepada warna kulitnya dan bukan kerana tempat itu kurang pencahayaan.

Tindakan ahli parlimen Baling yang membangkitkan isu warna kulit telah mencemari Dewan Rakyat. Tambahan pula sidang Parlimen ini ditonton jutaan rakyat Malaysia tanpa mengira umur, kaum dan agama.

Maka, setiap ahli parlimen wajar berhati-hati ketika berucap di dalam “dewan mulia” tersebut.