Malaysia Dateline

Rasuah: Gejala yang sering dianggap remeh?

Dalam memperkatakan soal rasuah ini, rata-rata masyarakat sudah faham benar akan praktis jelik ini. Cuma sejauh mana pula tahap kefahaman kita terhadap praktis ini?

Rasuah secara umumnya berasal dari perkataan arab iaitu al-risywah. Dalam Al- Quran ia merupakan salah satu perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai satu jenayah, batil dan amatlah jelik di dalam Islam. Pun begitu, rasuah tiada maksud yang spesifik di sisi undang-undang Malaysia. Tetapi ada beberapa definisi yang telah diberikan oleh beberapa sarjana terhadap perlakuan ini.

Definisi Rasuah

Perkataan rasuah dalam kamus al-Mukhtar berasal daripada perkataan rasya yang membawa erti tali timba yang digunakan untuk mengambil air perigi. Dalam Tafsir Munir disebutkan bahawa rasya adalah jamak bagi rasuah.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, rasuah termasuklah memakan harta orang lain dengan jalan yang batil.

Menurutnya, rasuah iaitu memberikan wang kepada penguasa atau petugas supaya penguasa atau petugas tersebut memenangkan hukum untuknya dengan mengalahkan pihak lawan atau supaya mendahulukan urusannya atau melambatkan.

Sedangkan di sisi sarjana Barat seperti PG Osborne memberikan definisi rasuah sebagai perlakuan dengan cara memberikan atau menawarkan apa sahaja ganjaran kepada mana-mana individu untuk mempengaruhi kelakuannya atau menerima apa-apa hadiah.

Pendapat kedua daripada John Saunders memberikan definisi rasuah sebagai dengan mengambil atau memberikan wang untuk prestasi atau tidak prestasi terhadap kewajiban awam mereka sendiri.

Jenis-Jenis Rasuah

Sedang kita membahaskan tentang pendefinisian rasuah, maka elok juga kita telusuri jenis-jenis rasuah yang dikategorikan khas oleh sosiolog ulung negara. Menurut Syed Husin al-Attas, rasuah boleh dibahagikan kepada 7 jenis dan beliau telah menjelaskan 6 daripadanya. Di antara jenis rasuah berkenaan adalah:

1. Rasuah yang transaktif
Rasuah transaktif menunjukkan kepada wujudnya dua kesepakatan secara timbal balas antara penerima dan pemberi demi keuntungan kedua-dua belah pihak. Bahkan diusahakan secara aktif hingga tercapainya tujuan kedua-dua belah pihak. Rasuah jenis ini kerap kali berlaku dalam dunia perusahaan dengan pemerintah atau masyarakat dengan pemerintah.

2. Rasuah Memeras
Jenis rasuah ini berlaku ketika pihak pemberi dipaksa agar menyuap pihak penerima bagi mencegah kerugian yang mengancam dirinya, kepentingannya, atau orang-orang atau hal-hal yang dihargainya.

3. Rasuah Defensif
Rasuah defensive adalah perilaku korban rasuah denganpemerasan. Rasuah jenis ini adalah bertujuan untuk mempertahankan diri.

4. Rasuah Investif
Rasuah investif adalah berbentuk pemberian barangan atau jasa tanpa ada sebarang pertalian langsung dengan keuntungan tertentu. Hal ini bertitik tolak daripada keuntungan yang bakal dikaut pada masa yang akan datang.

5. Rasuah Perkerabatan
Rasuah perkerabatan atau dalam nama lain adalah nepotisme. Ianya berfungsi dengan cara pemberian jawatan kepada sanak-saudara atau teman terdekat untuk memegang sesuatu jawatan tanpa justifikasi yang kukuh.

Atau tindakan yang memberikan perlakuan yang mengutamakan dalam bentuk wang atau apa-apa sahaja bentuk lain yang bertentangan dengan norma dan peraturan yang baru.

6. Rasuah Dokongan
Rasuah jenis ini tidak melibatkan apa-apa sahaja bentuk kewangan. Melainkan tindakan yang melibatkan perlindungan dan memperkuatkan rasuah yang sedia ada.

Justeru, berdasarkan jenis rasuah di atas maka kita dapat mengenal pasti jenis rasuah yang kebanyakannya dipraktis oleh masyarakat ataupun pemerintah di negara ini. Setakat ini, rasuah jenis mana yang anda biasa lihat atau alami?

Apa kesan rasuah kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara?

Dalam mendapatkan kesan rasuah kepada pertumbuhan ekonomi negara, maka kita boleh soroti beberapa dapatan daripada amatan dan dapatan daripada para sarjana.

Terdapat juga kesan sampingan lain yang tidak terkait dengan ekonomi. Tetapi berkait dengan kesan sosial sesebuah masyarakat dan tatanannya.

Rasuah antara lain dapat menggugat tingkat pelaburan dan ekosistem pembangunan ekonomi sesebuah negara. Dalam jurnal yang bertajuk “Corruption and Growth” oleh Paulo Mauro mendapati terdapat beberapa padanan negatif rasuah terhadap tingkat pelaburan asing dan pembangunan negara.

Dapatan ini berdasarkan hubungan rasuah tersebut dengan kawalan terhadap tingkat piawaian bagi pelaburan dan pertumbuhan. Yakni terdapat bukti kesan birokrasi dalam penentu pelaburan dan pertumbuhan.

Ini sama seperti keadaan kestabilan politik juga. Dalam kata mudah, pelakuan rasuah telah terlebih dahulu menjadi pemberat dalam menentukan entiti mana yang mendapat tempat dalam pelaburan kepada sesebuah negara.

Manakala, jika kita fokuskan pula praktis rasuah dalam birokrasi awam maka kita akan dapati ianya mampu untuk menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam satu kajian yang bertajuk “The Incidence And Persistence Of Corruption In Economic Development” mendapati bahawa petunjuk rasuah memberi tindak balas kepada tiga situasi utama. Yakni wujud delegasi pihak berkuasa bermula daripada ketua hingga ke pihak bawahan.

Di sini berlakunya pengeksploitasian terhadap pihak berkuasa untuk mendapatkan habuan ekonomi. Secara
empirikal, pengkaji mendapati bahawa timbulnya hubungan sebab dan akibat secara dua hala untuk mewujudkan masalah dan bagi menimbulkan potensi dalam bias secara serentak dalam regresi rasuah dan pertumbuhan.

Selain itu, rasuah juga memberikan kesan inflasi yang teruk kepada sesebuah negara. Ini mungkin baru bagi kita tapi ianya wujud kesalinghubungan antara rasuah dan tingkat inflasi.

Dalam satu kajian yang bertajuk “Corruption and Inflation” oleh Fahim Marhoubi mendapati bahawa rasuah adalah penyebab kepada kelemahan dalam makroekonomi. Kajian ini mendapati rasuah telah meningkatkan tahap kelembapan ekonomi dan menghadang pelaburan.

Beliau menunjukkan bahawa kadar rasuah yang tinggi turut sama mengheret kepada kadar inflasi yang tinggi. Ini berdasarkan beberapa pemboleh ubah inflasi selain dariapada pemboleh ubah tahap kebebasan world bank, ketidakstablian politik dan beberapa pemboleh ubah yang lain.

Dari perspektif dasar, kesan utama bagi kajian ini adalah keperluan untuk menstrukturkan semula institusi ekonomi dan politik serta meletakkan ‘peperangan menentang rasuah’ adalah sebagai agenda utama.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, gejalan rasuah memang amat benar membawa kepada kesan negative langsung terhadap negara. Terutamanya memawa kesan negative kepada kebanayakan negara-negara membangun.

Ini jelas betapa rasuah memberikan kesan besar terhadap kelembapan ekonomi dan pertumbuhan sesebuah negara. Oleh itu, apa yang boleh diringkaskan adalah rasuah telah menjejaskan tatanan sosial dan ekonomi.

Harapan untuk Malaysia tercinta, tidak lain hanya berharap agar pihak atasan mahupun bawahan agar menjauhkan diri daripada gejala ini kerana kesannya menjalar hingga ke generasi yang akan datang. Itu yang dikhuatirkan. Majulah watanku tanpa rasuah!


Penulis merupakan Setiausaha Kewangan Kesatuan Mahasiswa

Universiti Malaya