Rasuah: Guang Eng, Li Koon dibebaskan hari ini

Rasuah: Guang Eng, Li Koon dibebaskan hari ini

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. hari ini, melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada prosiding pagi ini, pihak pendakwaan memohon supaya Guan Eng dan Li Koon hanya dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.

Peguam kedua-dua tertuduh sebelum ini memohon anak guam mereka dilepas dan dibebaskan.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusannya, bersetuju dengan peguam bela bahawa tuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja ke atas kedua-dua tertuduh.

“Saya tidak boleh bersetuju dengan pihak pendakwaan… Mahkamah tidak menjalankan kes secara ansuran, mesti ada penamat dan bukan tanda koma, koma.

“Jadi selepas mengkaji keseluruhan kes dan masa yang lama untuk membuat keputusan, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Sebaik mahkamah selesai bersidang Guan Eng, 58 memeluk Phang, 46.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.

“Saya bersyukur kerana akhirnya mendapat keadilan, ” katanya sambil menegaskan bahawa tuduhan terhadapnya adalah fitnah.

Guan Eng diwakili peguam Ramkarpal Singh manakala peguam Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak Li Koon.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 26 Mac lalu dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS