Malaysia Dateline

Rasuah: Jika Ketua Polis Negara perlukan perlindungan, siapa pula lindungi rakyat?

Kebiasaannya, orang awam atau rakyat, yang meminta pertolongan kepada polis. Namun, apabila Ketua Polis Negara (KPN) membuat permohonan kepada rakyat mengenai keadaan dan keselamatannya, jelas ada sesuatu yang amat tidak kena dengan negara kita.

Saya tidak merujuk kepada masalah dalaman yang dihadapi oleh Ketua Polis Negara dari rakan sejawatannya, kerana hal dalaman saya yakin beliau dapat menangani dengan sebaiknya. Ini bukan merupakan masalah utama yang dihadapi beliau.

Saya merujuk lebih kepada faktor luaran atau campur tangan yang beliau hadapi dari tangan tangan ghaib dan juga tekanan politik. Saya percaya ini adalah permasalahan utama yang beliau perlu berdepan untuk menentang rasuah dan penyelewengan.

Tan Sri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kerana beliau cukup dikenali sebagai individu yang berkualiti, berintegriti dan cekal menentang rasuah.

Secara tiba-tiba kini beliau meminta pertolongan secara terbuka. Sekiranya kerajaan hari ini yang mempunyai kuasa turut mendukung perjuangan beliau untuk menghapuskan rasuah dan memberi sokongan padu pada beliau, situasi ini tidak akan wujud.

Pegawai-pegawai muda pasti tidak akan mampu dengan mudah mengancam beliau sekiranya tidak ada sokongan dan dukungan daripada mereka yang mempunyai kuasa serta pengaruh politik yang membenarkan tindakan tersebut.

Kita tahu pastinya bukan hanya sokongan moral yang diberikan sebagai menyokong tindakan untuk membuang beliau, bahkan boleh jadi perancangan yang lebih jahat dan licik bagi membenarkan budaya rasuah kembali terus kekal ke dalam masyarakat kita.

Malah, bekas pegawai kanan polis bahagian Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan secara terang-terangan mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana beberapa kenaikan pangkat boleh berlaku dalam pasukan polis sekarang ini. Dipercayai ada faktor luar dan tangan yang tidak diketahui mempengaruhi keputusan berkenaan.

Siapa lagi yang terdiri dari pihak luar mempunyai kuasa atau pengaruh yang cukup besar untuk mengarahkan perkara terbabit dalam badan polis sekiranya ia bukan dari kalangan ahli politik berpengaruh.

Rakyat mesti mendukung dan memberi sokongan penuh kepada Ketua Polis Negara dalam perjuangan beliau untuk menghapuskan budaya rasuah hingga peringkat tertinggi.

Buat pertama kalinya, Ketua Polis Negara memberi harapan baharu kepada kita untuk membanteras rasuah hingga ke peringkat tertinggi, kita mesti memberi sokongan padu kepada beliau dalam usaha ini.

Jenayah rasuah telah merosakkan setiap lapisan masyarakat kita di semua peringkat.

Pengisytiharan darurat yang bertujuan menangani permasalahan yang timbul kesan dari pendemik Covid-19 tetapi jenayah rasuah yang sekian lama merosakkan negara terus dibiarkan berkembang tanpa usaha serius untuk menghapuskannya.

Rakyat mesti menunjukkan sokongan padu kepada Ketua Polis Negara dalam perjuangan beliau untuk menghapuskan jenayah rasuah, jika kita tidak mengambil peluang ini untuk bersama Ketua Polis Negara, generasi akan datang, anak dan cucu kita akan terus hidup dalam kerosakan kesan daripada cara hidup yang membenarkan amalan rasuah.

Situasi politik hari ini begitu berkecamuk dan darurat yang diisytiharkan hari ini mengumpulkan kuasa di dalam tangan orang politik yang berkuasa.

Kalau pihak polis juga dipengaruhi penuh oleh pihak yang sama, padahlah masa depan rakyat marhaen hari ini ditindas mereka.

Jika Ketua Polis Negara pun memerlukan bantuan dan perlindungan dari kuasa besar yang korup, siapa pula yang akan melindungi rakyat biasa yang lemah ini?

*SENATOR DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu dan Pengerusi AMANAH negeri.