Malaysia Dateline

Rasuah kewangan, politik kebimbangan utama dunia

Kaji selidik global berkenaan ‘What Worries the World’ mendedahkan bahawa rasuah kewangan dan politik menjadi kebimbangan utama masyarakat di seluruh dunia.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon yang memaklumkan bahawa rasuah antara empat kebimbangan utama dalam senarai kebimbangan utama dunia yang diikuti oleh kemiskinan dan ketidaksamaan sosial; pengangguran serta jenayah; dan keganasan.

Data mencatatkan rasuah kewangan dan politik (34 peratus), Kemiskinan dan ketidaksamaan sosial (34 peratus), Pengangguran (33 peratus) dan jenayah dan keganasan (31 peratus).

Tambahnya, sebahagian majoriti di kebanyakan negara yang dikaji iaitu 22 daripada 28 negara berpendapat bahawa negara mereka tidak mengikut hala tuju sewajarnya dengan purata 58 peratus.

“What Worries the World ialah kaji selidik dalam talian bulanan penduduk dewasa berumur bawah 65 tahun di Brazil, Kanada, Afrika Selatan, Perancis, China, Sepanyol, Turki, Sweden, Amerika Syarikat, Rusia, dan negara-negara lain.

“Dalam dapatan ini, lima negara mencatatkan tahap keresahan tertinggi dan paling tidak yakin terhadap hala tuju yang diambil oleh negara mereka iaitu Afrika selatan (77 peratus), Perancis (77 peratus), Sepanyol (76 peratus), Turki (74 peratus) dan Belgium (74 peratus).

“Penurunan optimisme yang terbesar dilihat di Mexico iaitu 56 peratus – dengan kejatuhan 12 peratus daripada lonjakan sentimen positif yang dilaporkan bulan lepas iaitu 68 peratus. Terdapat juga kejatuhan enam mata di Itali dan Kanada,” katanya.

Beliau turut memberitahu, China memberikan keyakinan tertinggi dengan hala tuju kebangsaannya iaitu sebanyak 94 peratus bersamaan 9 daripada 10 warga China mengatakan bahawa China mengikut hala tuju sewajarnya.

Ia diikuti oleh Arab Saudi (84 peratus), India (73 peratus), dan Malaysia (57 peratus).

Manakala India dan Sweden menunjukkan peningkatan bulanan terbesar sentimen positif dalam semua 28 negara yang kedua-duanya melaporkan kenaikan 8 mata oleh rakyat yang menganggap negara mereka mengikut hala tuju sewajarnya.