Rasuah pemimpin kleptokrat beri kesan penutupan KR1M, menambah beban rakyat

Rasuah pemimpin kleptokrat beri kesan penutupan KR1M, menambah beban rakyat

Penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi tujuan penambahbaikan adalah sesuatu yang meragukan apabila ia membabitkan hampir semua premis KR1M.

Dalam kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudinm dipetik berkata, penutupan sementara KR1M adalah sebahagian daripada penambahbaikan.

Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan kementerian untuk menambah baik kelemahan sebelum ini melalui inisiatif yang dinamakan KR1M 2.0.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berpandangan, penambahbaikan biasanya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian semua premis KR1M seluruh negara.

“Alasan penambahbaikan tersebut adalah sesuatu yang meragukan kerana penutupan sementara ini berlaku kepada hampir kesemua premis KR1M di seluruh negara.

“Kenyataan Hamzah bertentangan dengan kenyataan Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd akhir Julai lalu yang menyatakan bahawa mereka mengalami kerugian besar.

“Seharusnya operasi KR1M diteruskan jika kerajaan mampu membantu meringankan beban Mydin,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz berkata, KR1M sebagai salah satu daripada rangkaian produk 1Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak itu, dakwanya, menjadi faktor penutupan sementara ini  disebabkan ‘kekeringan kantung’ negara yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus pentadbiran kleptokrasi Najib terutama peningkatan skandal-skandal korupsi yang berlaku dalam negara termasuk yang melibatkan skandal berskala mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ekonomi negara yang meruncing pada hari ini adalah disebabkan kejatuhan nilai Ringgit yang didorong oleh kehilangan kepercayaan pelabur terhadap integriti tadbir urus negara sepertimana kenyataan mantan Govenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa nilai matawang negara tidak akan pulih selagi isu 1MDB tidak diselesaikan.

“Isu 1MDB tidak akan selesai selagi mana tindakan undang-undang tidak diambil terhadap individu-individu yang bertanggungjawab terutamanya MO1 yang disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri walaupun Perdana Menteri cuba menutup skandal 1MDB ini dengan bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini.

“Pemergian Perdana Menteri ke Amerika Syarikat baru-baru ini di mana Perdana Menteri mengumumkan persetujuan untuk melabur di sana sekitar AS$24 bilion (RM100 bilion) bagi mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat adalah ‘direction not negotiation’.

“Lebih malang lagi apabila kerajaan juga akan menggunakan wang KWSP sebanyak AS$4 bilion (RM17 bilion) bagi tujuan pelaburan, sedangkan tujuan tersebut hanya helah bagi menutup skandal 1MDB yang sedang menjerut kepimpinan Najib Razak,” ujarnya.

Faiz yang juga pengamal undang-undangi ni berkata, seharusnya wang sebesar itu diuruskan untuk memulihkan ekonomi negara bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Penutupan sementara KR1M ini sudah pasti menambah beban hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan (M40) yang bergantung kepada barangan murah yang ditawarkan di KR1M. Selain itu, perniagaan industri kecil dan sederhana yang bergantung kepada pemasaran produk mereka kepada KR1M juga akan terjejas dan ini akan meningkatkan masalah pendapatan dan pengangguran rakyat.

“kebaikan produk 1Malaysia kepada rakyat seperti KR1M mula menunjukkan kesan buruk kepada rakyat akibat kelemahan tadbir urus negara terutama kepincangan 1MDB,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS