Malaysia Dateline

Rasuah: PH berjaya letak di landasan betul, dimusnah semula oleh PN

1. Selepas rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan pada 9/5/2018, kita boleh melihat keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas negara kita alhamdulillah mula menunjukkan tanda-tanda perubahan positif walaupun agak perlahan pada mulanya tapi kemudiannya mula menonjolkan peningkatan yang agak ketara.

2. Antara kayu ukur yang sering digunakan oleh masyarakat antarabangsa itu adalah CPI (Corruption Perception Index) atau Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI). Indeks ini, misalnya, yang akan para pelabur rujuk sebelum mereka memutuskan untuk melabur di mana-mana negara termasuk negara ini.

Selepas hanya setahun PH memerintah, TI telah mengeluarkan hasil penyelidikan mengenai Indeks Persepsi Rasuah di negara-negara di dunia ini dan pada tahun 2019, kita menyaksikan Malaysia telah berjaya mempertingkatkan kedudukan posisinya dalam Indeks Persepsi tersebut dengan berjaya menduduki anak tangga ke-51 pada tahun 2019 dari anak tangga ke 61 pada tahun 2018 dan anak tangga ke 62 pada tahun 2017.

3. Baru-baru ini kita dikejutkan apabila TI mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah pada tahun 2020 – tahun yang menyaksikan “Langkah Sheraton” dan pengkhianatan mandat rakyat melalui fenomema tebuk atap – negara ini kini berada di kedudukan nombor 57 pada tahun lepas – 2020 – setelah PH berhempas pulas meletakkan posisi negara ini ke tahap yang agak baik dalam Indeks Persepsi Rasuah iaitu di angka ke 51 pada tahun 2019.

4. Kenapakah, semasa PH menjadi Kerajaan, Malaysia telah berjaya, hanya dalam tempoh yang secara relatifnya agak singkat, memperbaiki kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah ini?

5. Menurut Presiden TI (Malaysia) seperti yang dilaporkan oleh NST Singapura pada 23/1/2020, kejayaan tersebut kerana kejayaan rakyat negara ini memberi mandat kepada PH dan PH telah bertindak membalas budi mandat rakyat tersebut dengan membuat beberapa perubahan yang agak besar dan drastik dalam soal urustadbir yang baik dalam pemerintahan (a good governance). Beliau berkata “Kerajaan baru (PH) begitu komited untuk memastikan Malaysia bebas rasuah”.

6. Sebagai salah seorang anggota pentadbiran Kerajaan PH tersebut dan berada di JPM yang hampir setiap minggu berpeluang bermesyuarat dengan YAB PM sendiri dan para pegawai tertinggi kerajaan, saya agak arif tentang usaha-usaha yang amat giat yang dilakukan oleh YAB PM dan kabinetnya dan dibantu oleh para kakitangan kerajaan yang agak komited untuk meletakkan Malaysia ke posisi yang lebih terhormat dalam pandangan masyarakat antarabangsa.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim melaporkan tentang Plan Anti Rasuah Kebangsaan kepada kerajaan.

7. Misalnya,Kerajaan PH telah menubuhkan sebuah badan khas yang diterajui oleh mantan Pengerusi SPRM iaitu badan yang dipanggil GIACC bagi menjalankan usaha-usaha giat dan proaktif bagi, antaranya, menangani dan memerangi isu rasuah dalam kerajaan sendiri.

Badan ini terletak di bawah JPM dan pejabatnya juga, secara kebetulan, bersebelahan pejabat saya di JPM. Saya agak arif dengan apa yang badan ini telah lakukan kerana lazimnya pada setiap kali sidang Parlimen, mantan boss saya – mendiang Dato VK Liew – dan saya sendiri yang akan selalu menjawab isu-isu berkaitan badan ini di Parlimen – Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kerajaan PH, misalnya juga menubuhkan NFC atau National Financial Centre bagi memerangi atau mengekang fenomena skandal kewangan berskala mega seperti 1MDB.

8. Pada masa PH memerintah juga ada satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh YAB PM sendiri di mana anggotanya adalah para menteri kanan dan para “senior government servants” dan saya juga adalah salah seorang anggotanya. Pihak GIACC diamanahkan sebagai sekretariat kepada JKKMAR itu.

Puratanya, hampir setiap dua bulan JKKMAR ini akan bermesyuarat dan telah berjaya membincangkan dan memutuskan beberapa polisi penting untuk dibawa ke Kabinet bagi dipertimbangkan dan dijadikan dasar yang muktamad. Contohnya dasar perisytiharan harta dan penghapusan budaya surat sokongan lahir dari JKKMAR.

9. Saya sesungguhnya percaya, pada masa itu, Kerajaan PH sedang berada di landasan yang betul untuk memulihkan imej negara khususnya imej negara ini sebagai “negara perasuah” di mata masyarakat luar.

Hakikatnya, kejayaan PH ini amat digeruni oleh musuh politik PH yang mana kejayaan PH tersebut memungkinkan parti-parti politik yang bergayut pada politik perkauman dan agama yang sempit akan menjadi terus tidak relevan dan mungkin akan berstatus nota kaki sahaja pada masa hadapan.

Lalu pihak-pihak yang risau tentang survival politik mereka itu mula menjerit dengan amat lantang isu-isu perkauman dan agama sempit ibarat tanpa had dan sempadan.

Maka diciptalah satu naratif palsu kononnya Islam dan Melayu terancam di bawah PH, sedangkan hakikatnya kedudukan dan survival politik mereka yang terancam dan berisiko terpupus. Ironisnya, mereka juga mendapat manfaat besar dari dasar keterbukaan PH yang malangnya telah disalahhgunakan kebebasan tersebut bagi mewujudkan rasa tidak puas hati pada PH dengan menyerang PH tanpa ada rasa malu apatah lagi rasa kebertanggungjawaban.

10. Malangnya, politik kotor mereka itu, sekali lagi, dilihat membawa negara ini ke fenomena pra 9/5/2018. Indikasi awalnya Indeks Persepsi Rasuah negara di bawah Kerajaan PN mula dilihat negatif semula oleh masyarakat antarabangsa. Dan tidak perlu dikatakan ianya tidak baik untuk negara khususnya dalam aspek ekonomi. Kita sedang berkhayal jika kita rasa FDI atau para pelabur tidak kisah melihat negara ini mula kembali ke era lama dari aspek rasuah misalnya.


Penulis adalah ahli parlimen Sepang yang juga bekas Timbalan Menteri di JPM (Undang-undang).