Malaysia Dateline

Rasuah projek VEP: Jeck Seng selar anggota PH lapor polis bermotif politik

Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Datuk Seri Wee Jeck Seng menyelar laporan polis yang dibuat oleh anggota Pakatan Harapan dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Haji Ismail, Kukup semalam.

Menurut Wee laporan yang mendakwa beliau terbabit dalam rasuah kerana projek Permit Masuk Kenderaan (VEP) jelas bermotif politik politik bagi menentang beliau dalam PRK ketika ini.

“Ianya sama dengan apa yang berlaku ketika PRK Rantau sebelum ini apabila laporan polis dibuat terhadap calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya terlibat dengan rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.

“Setelah berakhirnya PRK Rantau, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan pula tidak lagi membangkitkan isu tersebut,” ujarnya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Jeck Seng dakwaan yang dibuat terhadapnya dengan mengaitkan projek VEP ini sebenarnya bukanlah perkara baharu malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah pun membuat pendengaran sebanyak 3 kali sejak Mac tahun ini.

“Banyak tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan ianya telah pun dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

“Misalnya, tuduhan mengatakan bahawa syarikat yang berjaya mendapatkan projek berkenaan hanya memiliki RM35 dalam akaun bank. Walhal laporan Ketua Audit telah mengatakan bahawa syarikat terbabit memiliki lebih daripada RM3 juta dan melepasi kelayakan minima sebagaimana yang disyaratkan.

“Tuduhan yang mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya disebabkan oleh peningkatan dalam skop yang ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan.

Ini semua sudah dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

Saya perhatikan bahawa Laporan Audit juga menyatakan bahawa projek itu telah berjaya mengumpul lebih daripada RM177 juta hasil untuk kerajaan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2016 sehingga Jun 2018.

“Bagi menepis keraguan, saya tidak pernah menjadi pengarah untuk syarikat dan saya juga tidak lagi memegang apa-apa saham dalam syarikat berkenaan.

Saya tidak sesekali terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam.

“Saya amat yakin PAC dan pihak polis pastinya akan membersihkan nama saya.

Dalam masa sama, saya menggesa pihak lawan dalam PRK ini supaya berjuang dengan adil bersandarkan idea, dasar dan komitmen untuk rakyat.

Semua pihak seharusnya menghentikan taktik kotor dan kembali kepada fokus utama iaitu berkhidmat untuk rakyat,” jelasnya.

Semalam Urusetia PDM PH Faisal Yunus, dipetik berkata, laporan dan seruan siasatan polis ke atas calon BN pada PRK Tanjung Piaiitu menyusul kerana Jeck Seng disyaki terlibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan semasa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menjadi Menteri Pengangkutan pada tahun 2015.

Katanya, laporan polis yang dibuat rakannya yang juga Ketua PDM berkenaan, Mohd Hamdan Hamid adalah berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2017 yang mendakwa Jeck Seng calon BN terlibat dalam pemberian tender secara rundingan langsung tender perlaksanaan sistem permit kemasukan kenderaan (VEP) bernilai hampir RM149.45 juta.