Malaysia Dateline

Rasuah RM2 juta, mahu bayar denda RM2,000 mengarut, kata MP PKR

Ketua Pemuda PKR atau AMK, Akmal Nasir menganggap rayuan yang dikemukakan peguam Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memohon mahkamah untuk mengurangkan denda yang dikenakan kepada RM2,000, sebagai mengarut.

Akmal (gambar bawah) berkata, ada beberapa pihak yang membuat perbandingan bahawa ‘magnitud’ kesalahan dan hukuman yang dilakukan Ku Nan adalah tidak setimpal berbanding dengan kes-kes lain.

Menurutnya, ada yang merasakan hukuman tersebut mungkin tidak dapat memberikan pengajaran yang sewajarnya.

“Masakan tidak, sebelum ini Ku Nan pernah menyatakan bahawa nilai RM2 juta hanyalah duit poket sahaja.

“Tetapi yang lebih mengejutkan, dalam pembelaan oleh peguam Ku Nan semalam, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kurang RM2,000 sahaja!

“Ambil RM2 juta, merayu pulang RM2 ribu? Mengarutlah,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Akmal turut menyenaraikan tiga kesimpulan yang dinyatakan oleh Hakim ketika menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Antaranya Akmal berkata, seorang individu yang kaya tidak boleh dianggap tidak akan melakukan kesalahan demi mendapatkan kepentingan kewangan

“Mahkamah berpendapat keterangan seorang Ketua Umno Bahagian dan bekas pengarah PRK Umno termasuklah kertas kerja bajet adalah direka selepas kejadian itu dalam usaha menyokong keterangan tertuduh.

“Ini menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti saksi dikalangan pemimpin Umno.

“Mahkamah dalam penghakimannya turut menolak keterangan Tengku Adnan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah tidak relevan dan adalah helah politik oleh musuh politik Umno,” katanya.

Pada masa sama katanya, Hakim dengan jelas menyatakan bahawa Ku Nan bukan satu-satunya ahli politik yang didakwa atas tuduhan rasuah dan menyatakan ia adalah konspirasi politik.