Malaysia Dateline

Rasuah, seleweng dana: MP pembangkang tidak puas hati menteri enggan jawab soalan

Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini bertubi-tubi membangkitkan isu tentang sikap menteri-menteri yang didakwa enggan menjawab soalan dikemukakan mereka di Dewan Rakyat.

Ia bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique pada semalam enggan menjawab soalannya tentang sama ada pemimpin kanan MIC terlibat dalam penyelewengan dana geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Beliau meminta agar Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memberi panduan agar menteri-menteri perlu menjawab soalan dikemukakan.

“Ketika membuat penggulungan, menteri beri penjelasan bahawa beliau tidak dapat jawab soalan itu kerana dinasihatkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak jawab soalan itu.

“Saya juga kemukakan usul di bawah aturan 18 yang kemudian ditolak untuk membincangkan penyelewengan dana MITRA. Saya tanya tentang (MITRA) dalam perbahasan saya. Tapi menteri tak jawab.

“Berselindung di belakang alasan bahawa pihak SPRM menasihatkan beliau tidak menjawab soalan itu. Bagaimana kita nak dapat penjelasan?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Pengerusi Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kemudian bangkit dan menegur agar Speaker tidak membenarkan kelakuan tersebut yang boleh menyebabkan sesuatu perbincangan mengenai salah guna kuasa dan rasuah disenyapkan begitu sahaja.

Beliau juga tidak bersetuju menteri-menteri cuba berselindung di sebalik SPRM untuk mempertahankan diri.

“Kalau begitu, kita nak tahu SPRM ini di pihak mana. Dia melawan rasuah atau penyokong rasuah. Kalau dia lawan rasuah, dia patut beri laluan sepenuhnya kepada Dewan ini untuk mmbahaskan,” katanya.

Ia kemudian disokong M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang bertegas mengatakan bahawa SPRM tidak boleh mengawal Dewan Rakyat.

“Bermakna (selepas ini) semua menteri boleh datang sini dan cakap ‘saya enggan jawab, bukan saya tak nak jawab. Saya tak boleh jawab kerana SPRM’. Kita yang bagi kuasa pada SPRM. Macam mana SPRM boleh kawal Parlimen. Tak masuk akal lah,” ujarnya.

Lim Guan eng (PH-Bagan) pula mencelah dan meminta panduan dari Speaker sama ada seorang menteri dibenarkan untuk tidak menjawab soalan dengan alasan ianya masih disiasat SPRM.

Jika begitu katanya, Parlimen tidak perlu diadakan kerana tiada lagi ketelusan dan kebertanggungjawapan.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pun sudah sebut, laporan Ketua Audit Negara tentang rugi RM620 juta mesti disiasat. Inilah satu contoh mengapa ia harus disiasat dengan secara mendalam.

“Tuan Yang Dipertua perlu pastikan, jangan benarkan menteri jawab sedemikian kerana ini lari daripada tanggungjawab mereka,” tegasnya.

Mereka juga kemudian mendesak agar Speaker membuat ‘ruling’ berkenaan hal itu.