Rasuah wang dan wanita: Umno Selangor mahu polis siasat dakwaan Rafizi

Rasuah wang dan wanita: Umno Selangor mahu polis siasat dakwaan Rafizi

Umno Selangor akan membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sekiranya beliau gagal mengotakan janjinya untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia pada Isnin depan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Zein Isma IsmailUmno Selangor akan membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sekiranya beliau gagal mengotakan janjinya untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia pada Isnin depan.

Ketua Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail berkata, beliau akan memantau dan memastikan Rafizi mengotakan janjinya untuk berbuat demikian.

“Saya mewakili jentera Umno Selangor akan membuat laporan kepada pihak polis agar menjalankan siasatan terhadap Rafizi dan dakwaannya berhubung perbuatan salah laku dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Kita sedang memantau Rafizi. Kita sama-sama tengok hari Isnin depan dia pergi atau tidak ke pejabat SPRM.

“Sekiranya dia gagal berbuat demikian, maka kita akan membuat laporan polis meminta kenyataannya itu disiasat di bawah Akta 212 Kanun Keseksaan kerana melindungi individu yang melakukan perbuatan jenayah,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Zein Isma turut mendesak, Ahli Parlimen Pandan itu juga perlu membuat laporan kepada pihak polis.

“Saya desak Rafizi  juga perlu melaporkan perbualan whatsapp itu kepada pihak polis selain SPRM.

“Ini kerana perbualan whatsapp yang tersebar itu jelas bukan fitnah atau direka-reka kerana dia  mengakui bahawa perbualannya di dalam grup whatsapp Solidariti Untuk Anwar adalah tulen.

“Ini untuk memastikan individu yang menyebarkan fitnah juga perlu dikenakan tindakan di bawah undang-undang polis,” ujarnya.

Rafizi semalam memaklumkan kepada media bahawa beliau akan membuat laporan kepada SPRM pada Isnin depan setelah mendapat arahan daripada Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah bermesyuarat pada Rabu.

Baru-baru ini, perbualan Rafizi di dalam grup whatsapp Solidariti Untuk Anwar telah tersebar meluas.

Di dalam perbualan tersebut, Rafizi mendakwa berlakunya salah laku di kalangan kakitangan awam dalam pentadbiran kerajaan negeri yang disogokkan rasuah wang dan khidmat wanita.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan rasminya dalam isu ini,  menafikan perkara itu berlaku serta menyifatkan sebagai tindakan jijik tanpa bukti dalam cubaan kempen untuk memburukkan pentadbirannya oleh pihak tertentu.

Azmin turut mendesak tuduhan itu perlu dibuktikan jika benar berlaku.

Sambung Zein Isma lagi, pertikaian kepimpinan Ahli Parlimen Gombak itu dengan Rafizi adalah isu dalaman kerajaan negeri dan PKR yang berkait  dengan soal kepimpinan dan etika.

“Saya minta SPRM kelak akan dapat memberikan laporan penuh dengan aduan yang dibuat Rafizi nanti.

“Kita perlu keadilan dalam parti tak kira siapa yang menyalahi etika dan terbabit rasuah dalam kepimpinan sedia ada di negeri Selangor ini, kita tidak boleh biarkan perkara begini berterusan wujud dikalangan ahli parti dalam PKR. SPRM perlu segera siasat.

“Sepatutnya, Rafizi yang selama ini kononnya memperjuangkan integriti mestilah melaporkan perkara itu sebelum diviralkan.

“Bukan bertindak menafikannya seolah-olah dia mahu melindungi individu yang dimaksudkan di dalam perbualan whatapss tersebut, itu akan memburukkan imej kerajaan Selangor,” tegasnya.

 

TAGS