Ratifikasi ICERD: Kedaulatan Perlembagaan tetap terpelihara

Ratifikasi ICERD: Kedaulatan Perlembagaan tetap terpelihara

Saya antara yang hadir ketika sesi meja bulat bersama YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusoff pada 7 November, 2018 yang lalu. Usai sesi meja bulat tersebut, terdapat kenyataan pihak tertentu yang mengatakan majoriti daripada NGO yang hadir tidak bersetuju untuk kerajaan menandatangani mahupun meratifikasi ICERD.

Jika hendak dilihat kepada senarai yang hadir pada sesi meja bulat tersebut, mungkin anggapan untuk mengatakan majoriti NGO tidak bersetuju adalah betul. Namun, untuk mengatakan majoriti yang hadir tidak bersetuju untuk kerajaan menandatangani mahupun meratifikasi ICERD mungkin tidak tepat.

Antara yang hadir menyuarakan pandangan pada malam tersebut bukan sahaja daripada NGO, malah terdiri daripada wakil SUHAKAM, Kementerian Dalam Negeri, individu-individu berlatar belakangkan peguam sivil, peguam syarie, pensyarah universiti, pemimpin mahasiswa dan juga asatizah.

Begitu juga dengan komen yang mengatakan tiada komunikasi dua hala pada malam tersebut juga tidak tepat. Memandangkan masa amat terhad, maka adalah mustahil untuk menjadikannya sesi dialog. Malah, format perjalanan sesi tersebut juga tidak pun ditetapkan lebih awal sebelum semua wakil tersebut dipanggil.

Sesi tersebut antara lain dimulai dengan penerangan ringkas oleh YB Menteri mengenai fakta-fakta yang membawa kepada sesi meja bulat tersebut. YB Menteri kemudiannya telah membuka sesi tersebut dengan setiap wakil NGO dan wakil persendirian dikehendaki memberi pandangan. YB Menteri juga menyatakan sesi ini dibuat untuk memberi ruang sepenuhnya kepada yang hadir untuk bersuara. Justeru, tiada isu untuk mengatakan tiada ruang hendak berdialog. Cuma, YB Menteri menjadikan sesi tersebut sebagai medan kepada yang hadir untuk menyuarakan pandangan secara terus kepada YB Menteri. Boleh dikatakan hampir 30 orang memberikan pandangan sehingga masa menghampiri jam 12.00 tengah malam yang menyebabkan mustahil untuk YB Menteri menjawab setiap pandangan yang diberikan. Sesi ditutup oleh pihak YB Menteri yang menyatakan setiap pandangan direkodkan dan akan dikemukakan kepada pihak atasan.

Jika dilihat kepada hujah undang-undang, rata-rata pengamal undang-undang bersetuju bahawa tindakan untuk ratifikasi ICERD tidak pun memberi kesan kepada mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya hak istimewa Melayu dan Islam. Hal ini kerana sebarang tindakan untuk menguatkuasakan sebarang konvensyen mahupun triti antarabangsa di dalam Negara hendaklah dilaksanakan melalui penggubalan undang-undang di Parlimen. Malah, sebarang pindaan terhadap isu hak istimewa Melayu di dalam Perlembagaan juga hendaklah melalui pindaan Perlembagaan di Parlimen secara undian 2/3 majoriti daripada para ahli Parlimen.

Justeru, cakap-cakap yang mengatakan ratifikasi ICERD ini akan secara langsung terus menyebabkan hak istimewa Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan tergugat merupakan andaian yang tidak jujur di sisi nas undang-undang yang wujud di dalam Negara.

Mengikut rekod, Malaysia telah meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa dengan ‘reservation’ seperti Covention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Walaupun Malaysia telah meratifikasi CEDAW, namun Mahkamah Rayuan di dalam kes Airasia Berhad v. Rafizah Shima Mohamed Aris [2014] 5 MLRA 553; [2014] 5 MLJ 318; [2015] 2 CLJ 510 memutuskan bahawa CEDAW tidak pun boleh dikuatkuasakan di Malaysia kerana ia tidak pun digubal menjadi undang-undang di dalam Negara.

Begitu juga keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Bato Bagi & Ors v. Kerajaan Negeri Sarawak And Another Appeal [2012] 1 MLRA 1; [2011] 6 MLJ 297; [2011] 8 CLJ 766; [2011] 5 AMR 493 yang memutuskan bahawa Triti Antarabangsa tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang Negara melainkan ia digubal sebagai undang-undang di Parlimen.

Selain itu wujud juga tanggapan yang mengatakan walaupun pindaan dengan majoriti 2/3 Parlimen perlu dilakukan, namun tindakan meratifikasi ICERD ini akan menyebabkan Parlimen ‘didesak’ dan ‘terdesak’ untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Saya melihat hujah ini adalah bersifat andaian yang tidak berpijak kepada realiti. Andaian yang mengatakan Parlimen akan ‘terdesak’ untuk meminda Perlembagaan merupakan hujah karut yang bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat semata-mata. Adakah Parlimen Negara kita terlalu lekeh untuk sesuka hati membuat pindaan kepada Perlembagaan hanya kerana mendapat desakan. Adakah Parlimen kita sudah tidak berdaulat?

Apatah lagi, ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan kini tidak pun membentuk 2/3 majoriti. Malah, jika dibawa ke Dewan Negara sekalipun, majoriti Ahli Dewan Negara adalah dikuasai pembangkang iaitu Barisan Nasional. Sedangkan Dewan Negara baru-baru ini telah menolak untuk memansuhkan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, bagaimana mungkin Dewan Negara hendak meluluskan sebarang pindaan Perlembagaan melibatkan Melayu dan Islam? Amat tidak masuk akal.

Mengikut rekod, Negara-negara Islam yang telah menandatangani ICERD ini termasuk Arab Saudi sehingga kini tidak pun berdepan dengan sebarang masalah dan masih mengamalkan undang-undang di Negara mereka tanpa halangan. Malah, tidak wujud isu agama Islam tergadai setelah Negara-negara Islam ini menandatangani ICERD ini.

Justeru, saya berpandangan hujah yang berasaskan perkauman yang diperhangatkan seolah-olah menjadi buah tanggung kepada hujah pihak-pihak yang bersetuju untuk Kerajaan meratifikasi ICERD tersebut. Walaupun tindakan meratifikasi ICERD tersebut tidak menggugat Perlembagaan secara langsung, namun ia telah dijadikan sebab oleh sesetengah pihak untuk menangguk di air yang keruh dengan menghangatkan sentimen perkauman demi survival politik masing-masing.

* Penulis adalah Presiden PROGUAM (Pertubuhan Pengamal Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Malaysia)

COMMENTS