Ratu Elizabeth cari ‘bibik’ istana, tawar upah RM43 sejam

Oleh KIM SYAZIE

Ratu Elizabeth mencari pembantu rumah profesional yang boleh bekerja selama 40 jam seminggu di istana Keluarga Diraja Britain.

Memetik Agensi, kakitangan baharu itu akan bekerja sama ada di Istana Buckingham atau Istana Windsor dengan kadar upah sebanyak £7.97 sejam (RM 43.88).

Dilaporkan, upah yang ditawarkan itu kurang £1.93 (RM10) berbanding kos sara hidup standard di Britain. Namun, kakitangan akan menerima lokasi penginapan dan makanan yang disediakan oleh pihak istana.

“Dalam pakej sama, terdapat 15 peratus skim pencen caruman majikan tambah faedah dan 33 hari cuti termasuk cuti umum.

“Ini adalah laluan kerjaya dalam hospitaliti yang akan mengembangkan kemahiran dan kepakaran mengemas anda.

“Sertai pasukan profesional kami, anda akan membersihkan dan menjaga pelbagai ruang dalaman dan barangan serta memastikan ia dipersembahkan dengan sebaik mungkin,” tulis iklan itu.

Calon yang berminat juga tidak perlu mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan kerana majikan iaitu Ratu Elizabeth sendiri lebih berminat dengan pendekatan proaktif dan keupayaan bakal kakitangan untuk menangani cabaran baharu.

Orang ramai berpeluang membuat permohonan sehingga 19 Jun ini dan mereka yang berjaya disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga pada bulan Julai.