Ratusan kaum India di Kulim berhimpun bantah tulisan khat

Ratusan kaum India di Kulim berhimpun bantah tulisan khat

Ratusan masyarakat India hari ini berkumpul di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu di Kedah membantah pengenalan tulisan khat di sekolah vernakular.

Demonstrasi tersebut bagi menyampaikan memorandum daripada Gabungan Ibu Bapa Sekolah Tamil Daerah Kulim.

Sejumlah gambar himpunan tersebut yang difahamkan berlangsung di Jalan Sultan Badlishah tular di media sosial.

Terdapat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sedang bertugas tanpa kelihatan anggota polis dalam mengawal unjuk rasa tersebut.

Demonstran juga mengangkat kain rentang antaranya berbunyi, “Memartabatkan Perpaduan Kaum”. Turut kelihatan beberapa sepanduk bertulisan Cina.

Untuk rekod, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah seliaan PPD Kulim Bandar Baharu masing-masing berjumlah 18 buah.

Sebanyak 15 daripada SJK (T) terbabit dinamakan dengan perkataan ‘ladang’ merujuk kepada kawasan estet seperti SJK (T) Ladang Buntar, SJK (T) Ladang Padang Meiha dan SJK (T) Ladang Wellesley.

Sejak lebih seminggu lalu, akhbar-akhbar harian Tamil memuatkan isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJKT mulai 2020 di muka hadapan.

Beberapa hari lalu, foto kain rentang bantahan isu sama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Batu Caves, Selangor juga tular di media sosial.

Pembantah pengenalan tulisan khat dilihat terus mengadakan protes termasuk sidang media walaupun kerajaan telah melakukan beberapa langkah penyesuaian.

Antara alasan bantahan mereka ialah menganggap pengajaran tulisan khat sebagai agenda Islamisasi.

Pada 7 Ogos lalu, Kabinet telah bermesyuarat dan menetapkan pengenalan tulisan khat diteruskan dengan hanya tiga daripada enam muka surat di dalam buku teks tanpa dinilai dalam apa-apa ujian dan peperiksaan.

Pengajaran tentang tulisan itu juga dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah.

Protes berterusan daripada pertubuhan bukan Melayu berkenaan isu khat juga berlaku walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Ogos lalu telah mengingatkan semua pihak bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat keharmonian serta ketenteraman awam.

 

Protes membantah tulisan khat berlaku walaupun kerajaan telah menjelaskan langkah penyesuaian.

 

Demonstrasi dipercayai anjuran Gabungan Ibu Bapa Sekolah Tamil Daerah Kulim.

 

Bantahan pengajaran seni khat dipasang di pintu gerbang SJKT Batu Caves, Selangor.

 

Antara paparan muka depan akhbar Tamil pada 14 Ogos lalu yang membawa isu tulisan khat.