Ratusan peminat the Bos Gaurus teruja melihat Piala Malaysia

Ratusan peminat the Bos Gaurus teruja melihat Piala Malaysia

Rata-rata peminat pasukan bola sepak Perak tanpa mengira umur dan bangsa berasa teruja berpeluang melihat trofi Piala Malaysia secara dekat apabila ia dipamerkan di ruang legar Pasar Raya Besar Mydin, di Meru Raya, di sini hari ini.

Kehadiran ratusan penyokong pasukan The Bos Gaurus (TBG) kira-kira pukul 11 pagi itu  menampilkan pelbagai aksi yang mencuit hati termasuk swafoto bersama piala berkenaan untuk dimuatnaik ke dalam sosial media.

Malah ia sedikit sebanyak dapat mengubat hati mereka biarpun tanpa kehadiran pemain-pemain TBG seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Bagi Akhmal Fikri Zahari, 29, dari Teluk Intan berkata beliau amat teruja untuk melihat Piala Malaysia di depan mata buat pertama kali.

“Apabila saya baca berita mengatakan piala ini akan dipamerkan saya tidak berfikir panjang untuk datang melihat dengan mata kepala sendiri.

“Sebagai peminat bola sepak tanah air saya tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan piala yang menjadi rebutan semua pasukan bola sepak negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagi seorang penyokong ‘otai’ Fatimah Ahmad, 50, pula kekecewaan tidak dapat beramah mesra dengan pemain TBG sedikit terubat kerana dapat melihat piala berkenaan.

“Seingat saya sepanjang umur saya ini Perak telah menang tiga kali Piala Malaysia tetapi ini pertama kali saya dapat lihat rupa sebenar piala ini, seronok jugalah,” katanya.

Dalam pada itu, I. Selvaa Fancis, 33, berkata sebagai peminat setia pasukan Perak beliau mengharapkan TBG akan dapat mengekalkan kejuaraan di musim hadapan dan menambah koleksi piala.

“Jika saya sebagai peminat pun amat teruja melihat piala ini di negeri sendiri saya harapkan ia dapat jadi pembakar semangat untuk pemain-pemain Perak di musim hadapan,” katanya.

Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu FC pada final di Stadium Shah Alam, 27 Okt lalu.

Perak mengatasi Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 selepas masa tambahan.

— BERNAMA