Sudah ramai sebenarnya para penceramah, agamawan dan ilmuwan memanfaatkan wadah aplikasi TikTok dalam menyampaikan pencerahan kepada masyarakat.
Terbukti juga imej terkinja-kinja menari di platform media sosial itu sebelum ini dapat ‘dicairkan’ dengan pengisian kandungan yang lebih murni.
Hanya golongan tertentu yang berfikiran tertutup sanggup membiarkan platform media sosial dicemari perkara yang sia-sia.
Ikuti pandangan USTAZ MOHD FADHLULLAH ISMAIL mengenai trend menjadikan TikTok sebagai alat dakwah ini:
“TikTok ni dalam istilah bahasa Arab, Tik tu bodoh. Tok tu bodoh. Sebab itu, dalam TikTok ni semua orang buat perkara bodoh,” jelas seorang penceramah dengan penuh ketegasan.
Hebat juga syarikat China (ByteDance) yang mengasaskan TikTok ini. Kemungkinan mereka merujuk kamus bahasa Arab sebelum memilih nama aplikasi ini.
Sedar tidak sedar, puluhan bahkan ratusan penceramah, agamawan dan ilmuan mula menerobos masuk ke dalam platform yang dikatakan bodoh ini.
Tentunya dengan mesej dakwah, islah dan memandaikan ummat. Mudah-mudahan itulah misinya.
Pokoknya, pro dan kontra, positif dan negatifnya aplikasi ini, tiada siapa nafikan. Sesiapa pun boleh memberikan komentar.
Yang cuba memasukinya, ada asasnya. Yang mengambil sikap berhati-hati, pun ada asasnya. Kebaikan perlu disebar. Kemungkaran perlu dicegah.
Tidak cukup dengan hanya kritikan, bagi ‘yang mampu dan berkelayakan’, mesti menerobos masuk ‘tempat orang-orang bodoh’ ini supaya proses mencerdikkan dan memandaikan mereka boleh dilaksanakan, bukan dibiarkan.
Yang ingin mencari rezeki melalui platform ini, silakan. Yang belum bersedia dan tidak berminat atau tiada keperluan ke situ, ya, silakan.
PRU15 akan datang, TikTok akan dijadikan media sosial terpenting oleh semua parti politik menguasai generasi muda yang sudah meninggalkan Facebook, bahkan Instagram dan Twitter. Nantikan. Sekarang pun parti-parti politik sudah memulainya.
Dunia baru penuh cabaran. Kitalah yang bijak mengendalikannya dan memahami dengan yakin, apa tujuan kita berada di lapangan yang pelbagai ini.
Biar semuanya berpahala, bukan menyemai dosa. Bismillah, lakukan kebaikan.